Semua agensi perlu gandakan usaha perkasa ekonomi Bumiputera, kata PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semua agensi perlu gandakan usaha perkasa ekonomi Bumiputera, kata PM Anwar

Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua agensi di seluruh negara mesti terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama pelbagai inisiatif kerajaan.


Langkah pemerkasaan ekonomi Bumiputera katanya, turut meliputi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memegang mandat dalam memainkan peranan pembangunan golongan berkenaan.


Usaha serius secara berterusan itu tambah beliau, wajar dilipatgandakan khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah pun dilancarkan oleh pihak kerajaan.


Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) turut perlu meningkatkan celik pelaburan dalam masyarakat Bumiputera.

 

pmx


“Pagi ini, saya hadir mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera bagi meneliti segala prestasi semasa syarikat-syarikat di bawahnya.


“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, saya tegaskan keperluan kita terus perkukuh daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada pemegang unit amanah.


“Justeru, PNB dan PHB perlu bertindak menggandakan usaha untuk meningkatkan lagi tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bumiputera," kata Anwar.


Beliau turut meminta Perbadanan Usahawan Nasional Berhad kekal komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan. 


Turut hadir pada mesyuarat berkenaan yang diadakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - DagangNews.com