Semico sasar pertumbuhan pasaran 'pop toy' selepas penyenaraian pada 13 Januari 2026 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semico sasar pertumbuhan pasaran 'pop toy' selepas penyenaraian pada 13 Januari 2026 - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 DisTA Securities menilai Semico Capital Berhad berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat pasaran 'pop toy' selepas penyenaraiannya pada 13 Januari 2026.


Menurut firma penyelidikan tersebut, keyakinan kumpulan perkhidmatan tempatan berkenaan disokong oleh faktor aliran pendapatan secara berulang serta rangkaian bekalan dan pengedaran yang kukuh.


Jelasnya, Semico terlibat aktif terutamanya dalam pengedaran mesin arked dan hiburan, perkhidmatan berkaitan, selain mengendalikan pusat hiburan keluarga di kompleks beli-belah The Mines, Selangor.


"Kumpulan berkenaan sememangnya turut dikenali sebagai pemborong pelbagai mesin permainan video di pasaran negara ini kira-kira dua dekad lalu," kata TA Securities dalam nota penyelidikannya.


Tawaran awam permulaan (IPO) Semico diterbitkan pada 15 Disember 2025 meliputi sejumlah 92.7 juta saham baharu dan 18.0 juta saham sedia ada, mewakili 30.7% daripada modal saham yang diperbesarkan.


Firma itu menekankan beberapa kelebihan daya saing, termasuk pendedahan langsung kepada pasaran yang berkembang, rangkaian pembekalan dan pengedaran mantap, serta pasukan pekerja berpengalaman.


Dari segi penilaian, ketiadaan rakan setara tersenarai tempatan mendorong TA Securities membuat perbandingan Semico dengan pemain serantau, yang didagangkan pada purata 14.9 kali harga sesaham. 


"Kami namun mengambil kira saiz pasaran yang kecil dan ketiadaan pendedahan pembuatan huluan, diskaun 20% dikenakan, dan menghasilkan nisbah harga kepada pendapatan sasaran 12 kali," katanya.


Berdasarkan situasi itu, firma penyelidikan berkenaan menetapkan harga sasaran 33 sen sesaham, tetapi mengekalkan penarafan 'not rated' ke atas Semico sehingga disenaraikan di Pasaran ACE.


Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO kumpulan berkenaan. - DagangNews.com