KUALA LUMPUR 7 Jan - Semico Capital Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.298 juta bagi tempoh suku pertama yang berakhir pada 30 September 2025 (1QFY26).
Prestasi positif tersebut kata kumpulan berkenaan, didorong terutamanya oleh faktor sumbangan hasil yang stabil kukuh daripada segmen mainan dan koleksi serta perkhidmatan hiburan keluarga.
Tambahnya, kumpulan itu turut melaporkan jumlah pendapatan teguh sebanyak RM7.26 juta bagi tiga bulan tersebut, menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Januari 2026.
"Pecahan hasil menunjukkan segmen mainan dan koleksi menyumbang RM3.86 juta atau 53.19%, manakala segmen hiburan keluarga menjana RM3.40 juta atau 46.81%," maklum Semico kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan tersebut berkata, bagi segmen hiburan keluarga, sumbangan yang paling besar diperoleh adalah melalui model perkongsian hasil dengan berjaya mencatatkan kira-kira RM2.14 juta.
Penyata berkenaan merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan oleh kumpulan itu selaras dengan keperluan penyenaraian awam ditetapkan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.
Sehubungan itu, tiada angka perbandingan bagi suku sama pada tahun sebelumnya disediakan, dan Semico melalui tawaran awam permulaan (IPO) merancang harga terbitan kira-kira 25 sen sesaham.
"Menerusi penerbitan IPO tersebut, kumpulan ini dijangka memperoleh hasil permodalan kasar sebanyak RM23.17 juta," katanya dengan dana yang dikumpul akan dimanfaatkan untuk pengembangan perniagaan.
Ini termasuk pembelian mesin arked dan hiburan baharu sebanyak RM10.55 juta, pembelian mainan dan koleksi (RM2.50 juta), pembayaran balik pinjaman (RM1.60 juta), serta modal kerja (RM4.02 juta).
Mengenai prospek masa depan, Semico menyatakan keyakinan terhadap prestasi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, disokong inisiatif pelancongan kerajaan seperti Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pertumbuhan permintaan mainan pop dan pusat hiburan keluarga di pusat beli-belah, selari pendapatan boleh guna penduduk menjadi pemangkin yang mengukuhkan kedudukan pasaran. - DagangNews.com








