KUALA LUMPUR 23 Okt – Perkembangan pesat kawasan Selatan Lembah Klang, khususnya di Semenyih, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan jangka sederhana Eco World Development Group Berhad.
Menurut MBSB Research, ia mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.19 sesaham, berasaskan diskaun nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) sebanyak 10%.
Katanya, selepas lawatan lapangan ke tiga projek utama di Semenyih, firma penyelidikan tersebut menyatakan keyakinan terhadap prospek pembangunan jangka panjang syarikat di kawasan berkenaan.
"Selatan Lembah Klang, terutama Eco Majestic yang dilancarkan pada 2014, ketika ini sudah muncul sebagai hab pertumbuhan hartanah baharu di luar teras Kuala Lumpur," katanya dalam nota hari ini.
Lokasi itu kata MBSB Research, merupakan bandar bersepadu atas tanah 440 hektar pegangan bebas dan kekal sebagai penyumbang jualan tertinggi kepada kumpulan dengan jumlah RM4.6 bilion setakat ini.
Terletak bersebelahan Lebuhraya LEKAS dengan akses terus melalui Persimpangan Eco Majestic, projek ini menempatkan kediaman berpagar untuk keluarga muda serta pembeli yang berpendapatan tinggi.
Tambahnya, rumah teres dijual sekitar RM1 juta, manakala banglo bermula RM2 juta dan kejayaan projek ini mencerminkan permintaan konsisten terhadap kediaman bertanah berkualiti di luar bandar.
"Baki tanah yang belum dibangunkan kini berjumlah 120 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.41 bilion, berpotensi pembangunan komersial dan segmen kediaman bertingkat," jelas firma itu.
Dengan populasi semakin meningkat, EcoWorld turut membangunkan Majestic Labs, pusat komersial campuran seluas 1.5 hektar merangkumi 47 unit lot kedai yang menempatkan banyak penyewa utama.
MBSB Research berkata, kadar penghunian kawasan berkenaan sudah mencecah sekitar 70%, dibantu lokasi berhampiran Taman Bandar Eco Majestic seluas 8.1 hektar yang menjadi tarikan penduduk.
Firma penyelidikan itu menegaskan, pendapatan sewaan daripada Majestic Labs akan membantu EcoWorld mencapai sasaran meningkatkan pendapatan berulang kepada 20% hingga 30% dalam tempoh sederhana.
"Projek Eco Forest yang dilancarkan pada 2017 di atas tanah 200 hektar pegangan bebas, dengan baki 46 hektar pula masih belum dibangunkan manakala GDV dianggarkan RM1.37 bilion," tambahnya lagi.
Menyasarkan segmen pembeli kelas pertengahan kata MBSB Research, rumah teres dijual dari RM600,000 dengan jualan terkumpul melebihi RM1.1 bilion apabila lebih 1,600 unit berjaya dijual setakat ini.
Untuk meneruskan momentum kejayaan di Semenyih, EcoWorld jelasnya, memperoleh 343 hektar tanah pada November 2024 bagi membangunkan projek ketiganya di kawasan tersebut dikenali Eco Radiance.
Syarikat berkenaan kata firma berkenaan, turut membeli kira-kira 9.2 hektar tanah komersial tambahan, menjadikan keseluruhan pembangunan 352 hektar dengan GDV yang mencecah RM5.16 bilion.
"Projek bercampur ini bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun kewangan 2026, menampilkan kediaman berprofil tinggi dan komponen komersial bagi memenuhi permintaan," kata MBSB Research.
Dengan kejayaan Eco Majestic dan Eco Forest, serta pelancaran Eco Radiance, syarikat itu dilihat berpotensi mengekalkan pertumbuhan, walaupun penilaian semasa mencerminkan nilai masa depan.
Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27, serta menilai prospek hasil EcoWorld kekal positif didorong pengiktirafan jualan tanah dan pelancaran projek baharu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran yang penilaian semasa saham EcoWorld kekal tinggi, dengan saham kini diniagakan pada premium 25% berbanding purata sasaran RM1.70 sesaham.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'neutral', walaupun kekal optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang EcoWorld di selatan Lembah Klang,” jelas laporan MBSB Research. - DagangNews.com








