KUALA LUMPUR 10 Mac — Setelah berjaya membawa Tealive menembusi pasaran besar India lebih tiga minggu lalu, Loob Holding Sdn Bhd bersedia membuka 80 cawangan dalam masa 10 tahun di Thailand.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pihaknya telah memilih peneraju utama industri makanan dan minuman tempatan di negara berkenaan, Restaurants Development Co Ltd (RD) sebagai pemegang francaisi induk Loob.
RD ketika ini ini mengendalikan lebih 300 cawangan Kentucky Fried Chicken di Thailand dan merupakan anak syarikat Devyani International Limited (DIL) dari India, yang juga francaisi induk jenama Tealive sendiri di India.
Kerjasama strategik bersama DIL dan RD ini turut menjadikan India dan Thailand sebagai pasaran antarabangsa kesembilan dan kesepuluh bagi Tealive, jenama teh gaya hidup serantau terkemuka serta jenama utama tempatan milik Loob.
"Kami yakin rangkaian luas dan kepakaran industri RD akan menjadi pemangkin pertumbuhan pesat Tealive di Thailand. Jenama ini sendiri begitu sinonim sebagai minuman yang bukan sekadar produk teh sahaja," kata Bryan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Tealive mampu dalam memperkenalkan konsep teh gaya hidupnya di Thailand, serta melengkapkan budaya teh tempatan dengan pilihan minuman tambahan istimewa yang dirumus khas.

Ini ujar beliau, termasuk seperti kopi, coklat premium, dan smoothie buah-buahan serta snek Tealive kegemaran ramai.
"Rakan niaga di Thailand sudah berada di ratusan lokasi untuk dimanfaatkan oleh Tealive. Lokasi sebenar kedai masih dalam perbincangan, tetapi matlamat kami adalah untuk mencapai 80 cawangan dalam masa 10 tahun." katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RD, Andrew Norton, turut meluahkan keyakinan terhadap kerjasama ini serta begitu teruja untuk bekerjasama dengan Loob bagi membawa pengalaman minuman teh dinamik dan kontemporari Tealive.
"Dengan pemahaman mendalam kami mengenai pasaran tempatan dan dibantu inovasi produk Tealive, RD yakin kerjasama ini akan mentakrifkan semula cara teh untuk dinikmati kepada para pengguna di seluruh Thailand," jelasnya.
Dalam pada itu, Bryan berkata, strategi pertumbuhan Tealive berteraskan keupayaan skala yang strategik dengan keutamaan Loob adalah menyesuaikan tawaran dan berkembang secara efisien melalui kerjasama erat bersama rakan niaga tempatan.
"Ini juga terus memastikan jenama kami serasi dengan selera pengguna Thailand sambil mengekalkan komitmen Loob terhadap kualiti teh dan inovasi penyajian minuman," katanya.
Dengan lebih daripada 950 cawangan di pelbagai wilayah termasuk rantau Asia Tenggara, Mauritius, Kanada dan tidak lama lagi di Asia Barata dan India, Tealive kini bersedia untuk meneroka Thailand yang kaya dengan budaya teh tempatan.
Pasaran teh negara itu yang dinamik, didominasi oleh pengusaha tempatan, membuka peluang menarik bagi Tealive untuk memperkenalkan pilihan minuman moden baharu yang memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah. - DagangNews.com








