KUALA LUMPUR 21 April – NTPM Holdings Bhd mengambil langkah strategik untuk keluar sepenuhnya dari Vietnam menerusi pelupusan unitnya di negara itu dalam satu urus niaga pihak berkaitan bernilai AS$32 juta (RM127.33 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia NTPM berkata, anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, NTPM (International) Pte Ltd telah memeterai perjanjian bersyarat bagi menjual keseluruhan pegangan dalam NTPM (Vietnam) Co Ltd kepada Arch Peninsula Sdn Bhd.
Pelupusan itu menandakan pengunduran penuh NTPM daripada pasaran Vietnam selepas lebih sedekad berdepan operasi yang mencatat kerugian sejak 2012 yang menjejaskan prestasi kewangan keseluruhan kumpulan.
Urus niaga itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan pembeli merupakan anak syarikat milik penuh Premier Investment Ltd yang juga pemegang saham utama NTPM dengan pegangan sebanyak 22.42%.
Nishant Grover dikenal pasti sebagai pengarah berkepentingan, manakala beberapa entiti lain termasuk Premier Investment Ltd, Jackson Wijaya Limantara, Scotsdale Holding Ltd, Titan (MY) Sdn Bhd, PT Purinusa Ekapersada dan PT Pindo Deli Pulp and Paper Mills turut dianggap sebagai pihak berkepentingan dalam cadangan tersebut.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025, operasi di Vietnam menyumbang kira-kira 8.5% kepada hasil kumpulan melalui pengeluaran tisu dan produk berkaitan.
Langkah pelupusan ini dijangka membolehkan NTPM menyusun semula operasi, menghapuskan komitmen kewangan berterusan di Vietnam serta menumpukan sumber kepada perniagaan teras di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan, hutang antara syarikat berjumlah AS$59.45 juta (RM236.55 juta) akan ditukar kepada ekuiti sebelum pemindahan selesai, manakala Arch Peninsula Sdn Bhd akan mengambil alih kawalan operasi mulai 1 Mei bagi memastikan kesinambungan perniagaan sepanjang tempoh peralihan.
Walaupun bersifat strategik, cadangan pelupusan itu dijangka menyebabkan kerugian bersih pro forma kira-kira AS$49.42 juta (RM196.64 juta), dengan hasil pelupusan akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman dan keperluan modal kerja, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham serta pihak berkuasa di Vietnam sebelum dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2026. - DagangNews.com








