Selangor Dredging pajak Hotel Maya selama 20 tahun, berpotensi raih hasil RM192 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selangor Dredging pajak Hotel Maya selama 20 tahun, berpotensi raih hasil RM192 juta

Foto kredit Hotel Maya
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 MeiSelangor Dredging Berhad (SDB) mengambil usaha strategik besar dalam segmen hospitaliti apabila memajakkan operasi Hotel Maya Kuala Lumpur kepada operator baharu.


Katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, langkah tersebut dimeterai menerusi perjanjian pajakan jangka panjang yang berpotensi menjana hasil RM192.15 juta sepanjang tempoh 20 tahun.


Anak syarikatnya iaitu SDB Properties Sdn Bhd menandatangani perjanjian pajakan dengan Kin Hotel KL City Centre Sdn Bhd bagi pengoperasian hotel ikonik di Jalan Ampang itu bermula 1 Julai 2026.


"Usaha ini dilihat sebagai usaha SDB mengurangkan pendedahan langsung kepada risiko operasi hotel, sambil mengekalkan pemilikan aset strategik berprofil tinggi di pusat bandar raya," tambahnya.


Di bawah perjanjian itu ujar kumpulan tersebut, Kin Hotel akan mengendalikan Hotel Maya secara 'masih beroperasi', termasuk mengambil alih kemudahan sedia ada tanpa penyerahan kosong premis.


Perjanjian pajakan itu jelasnya, melibatkan tempoh awal selama 10 tahun dengan kadar sewaan asas RM750,000 sebulan bagi lima tahun yang pertama, dan RM780,000 sebulan bagi lima tahun berikutnya.


Kin Hotel kata SDB, turut diberi dua opsyen lanjutan selama lima tahun setiap satu, dengan kadar sewaan meningkat kepada RM830,000 dan RM880,000 sebulan bagi tempoh pembaharuan masing-masing.

 

Hotel Maya_DagangNews



"Secara keseluruhan, kumpulan ini dijangka menerima kira-kira RM89.55 juta hasil sewa sepanjang tempoh awal pajakan selepas mengambil kira tempoh pengecualian sewa selama tiga bulan," ujarnya.


Berdasarkan terma berkenaan tambahnya, jika kedua-dua opsyen pembaharuan tersebut dilaksanakan, jumlah keseluruhan hasil sewaan yang perlu dibayar itu boleh mencecah sebanyak RM192.15 juta.


Sebagai sebahagian daripada pelan penjenamaan semula dan peningkatan hotel, Kin Hotel diwajibkan SDB melabur minimum AS$3 juta (RM11.9 juta) dalam tempoh 36 bulan pertama untuk kerja naik taraf.


Pada masa sama, penyewa berkenaan katanya, turut perlu menyediakan bayaran pendahuluan sewaan bersamaan enam bulan dan deposit keselamatan lapan bulan sebagai jaminan pematuhan pajakan.


“Pajakan ini turut membolehkan kumpulan ini melantik operator hotel dari luar untuk mengurus dan mengendalikan Hotel Maya Kuala Lumpur sambil mengekalkan pemilikan aset berkenaan,” tambahnya.


Langkah berkenaan kata SDB, sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh aliran pendapatan berulang daripada aset pelaburan sedia ada, selain meningkatkan nilai jangka panjang hotel itu.


Kin Hotel merupakan syarikat yang diperbadankan pada Mac 2026 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kin Living Pte Ltd di Singapura, dengan aktiviti perniagaan meliputi operasi resort dan restoran.


Berdasarkan penyata kewangan teraudit berakhir 31 Mac 2025, transaksi itu mewakili nisbah peratusan tertinggi sekitar 10.22% di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com