Sektor utiliti masuki fasa pengembangan tenaga, CGSI jangka perlu RM150 bilion perbelanjaan modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor utiliti masuki fasa pengembangan tenaga, CGSI jangka perlu RM150 bilion perbelanjaan modal

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Dis - Sektor utiliti di Malaysia dijangka memasuki fasa kitaran pelaburan paling signifikan dalam lebih sedekad, apabila mula beralih daripada tumpuan awal tenaga solar.


Sebaliknya menurut CGS International, syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerja-kerja utiliti sudah meneroka kepada peringkat pengembangan tenaga pelbagai teknologi terbaharu di pasaran. 


Firma itu berkata, ia susulan permintaan elektrik dijangka meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 7% antara 2024 hingga 2030, tiga kali ganda berbanding 2019 hingga 2024.


"Peningkatan ini sejajar dengan kapasiti 9GW daripada jana kuasa sedia ada yang hampir tamat tempoh, dam menuntut pembinaan aset baharu serta penggantian kapasiti asas lama," katanya.


CGSI menjangkakan kitaran pelaburan perbelanjaan modal (capex) lebih RM150 bilion sehingga 2030, yang merangkumi antaranya sebanyak RM90 bilion untuk grid dan kira-kira RM60 bilion untuk loji. 


Sementara RM30 bilion lagi diperlukan bagi penambahan kapasiti solar, dan firma itu menekankan potensi pasaran solar korporat 28GW dengan 5 hingga 8GW berpotensi dilaksanakan menjelang 2030.


Tambah firma penyelidikan itu, dari segi ekonomi dan dasar, solar kekal sebagai pilihan kerana kos rendah, manakala gabungan solar dan BESS mula bersaing dengan CCGT pada tempoh waktu puncak.


"Pelaksanaan pelan hala tuju gas nasional dan cukai karbon dijangka mengukuhkan daya maju kewangan untuk tambah baik kecekapan serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS)," katanya.


Selain itu kata CGSI, walaupun penerima awal tenaga boleh diperbaharui (RE) mencatat kenaikan antara 130% hingga 150% sejak awal 2024, utiliti besar pula didapati meningkat sekitar 12%.


Perkembangan positif tersebut jelasnya, menandakan peluang luas dalam pelaburan yang seterusnya ketika projek baharu dan asas aset dikawal selia (RAB) semakin berkembang dengan lebih banyak.


Firma itu mengekalkan sektor utiliti dengan penarafan 'overweight', serta memilih Tenaga Nasional Berhad dan Malakoff yang diyakini dapat memanfaatkan pertumbuhan melalui pendapatan terkawal.


"Bagaimanapun kami memberi amaran risiko kegagalan pelaksanaan atau perubahan peraturan yang merugikan boleh menjejaskan pengembangan kapasiti syarikat," kata CGSI. - DagangNews.com