KUALA LUMPUR 30 Mac - Aktiviti solar berskala utiliti dijangka meningkat secara beransur-ansur pada suku kedua 2026, didorong oleh penurunan harga modul solar dan kos input yang lebih rendah, menjadikan sektor tenaga boleh diperbaharui terus menarik bagi pelabur, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, harga modul solar telah mula menurun kepada sekitar AS$0.11–0.12/W daripada paras puncak AS$0.13/W, disokong oleh harga polisilicon yang turun 17% setakat tahun ini dan harga wafer purata menurun 19% akibat lebihan bekalan.
Katanya, harga perak, salah satu komponen utama panel solar, juga telah stabil kepada AS$69/t, berbanding paras puncak AS$116/t, yang dijangka menyokong penurunan kos keseluruhan industri.
Bagi peluang projek, LSS5+ dijangka menyaksikan baki peluang EPCC bernilai sekitar RM2–3 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, memberikan keterlihatan pendapatan sektor sehingga 2028.
Sementara itu, projek LSS6 dengan peruntukan 2GW dan integrasi mandatori sistem storan tenaga bateri (BESS) dijangka menjadi pemangkin utama seterusnya, dengan tender dijangka pada suku kedua dan anugerah projek berpotensi pada lewat 2026 atau awal 2027, mewakili peluang EPCC sehingga RM8 bilion.
Dalam segmen di atas bumbung, Solar ATAP mencatatkan permulaan sederhana susulan peralihan dari mekanisme Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), disebabkan tempoh pulangan pelaburan lebih panjang, pulangan lebih rendah dan kos awal lebih tinggi.
Bagaimanapun, pemulihan secara beransur-ansur dijangka berlaku pada separuh kedua 2026 apabila pasaran menyesuaikan diri dengan rangka kerja baharu.
Rangka kerja SELCO atau penggunaan sendiri juga dijangka mempercepatkan penggunaan BESS dalam kalangan pelanggan komersial dan industri (C&I), terutamanya pengguna tenaga tinggi, disokong oleh caj puncak lebih tinggi dan kos bateri yang menurun. Ini dijangka menyokong penerapan penyelesaian solar-plus-storage secara lebih meluas.
Kenanga Research mengekalkan pandangan OVERWEIGHT bagi sektor solar, dengan SAMAIDEN (TP: RM1.94) dan KJTS (TP: RM1.37) sebagai pilihan utama, berdasarkan kedudukan kukuh mereka untuk memanfaatkan peluang daripada Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR). - DagangNews.com








