Sektor tenaga perlu penjanaan baharu berkapasiti 15GW atasi isu gangguan bekalan - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor tenaga perlu penjanaan baharu berkapasiti 15GW atasi isu gangguan bekalan - Affin Hwang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Okt – Isu gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan sebahagian besar Lembah Klang dan Johor pada 15 Oktober 2025 dijangka memacu pembangunan kapasiti penjanaan tenaga baharu.


Menurut Affin Hwang Investment Bank, langkah berkenaan dilihat perlu ketika Semenanjung Malaysia berdepan tekanan memenuhi permintaan elektrik semakin meningkat serta komitmen peralihan tenaga.


Justeru, tambahan antara 14GW hingga 15GW kapasiti penjanaan baharu wajar ditambah antara 2025 hingga 2030, bagi memastikan kestabilan sistem dan menyokong sasaran agenda penyahkarbonan negara.


“Permintaan semakin rancak, khususnya daripada pusat data (DC) berskala besar, namun kapasiti sedia ada semakin terhad. Pelaburan segera diperlukan,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya.


Gangguan terkini itu berpunca daripada kerosakan sementara di loji Erda di Melaka akibat panahan petir, yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan kecekapan bekalan elektrik nasional.


Mengulas lanjut, Affin Hwang mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti tenaga, sambil mengekalkan unjuran pendapatan dan harga sasaran untuk semua syarikat di bawah liputannya.


Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal sebagai saham pilihan utama, disokong oleh manfaat langsung daripada agenda peralihan tenaga negara serta peningkatan permintaan daripada sektor digital.


"YTL Power International Berhad turut digemari kerana penilaian menarik dengan sokongan keuntungan daripada operasi tenaga di Singapura dan sektor air di United Kingdom," jelas firma tersebut.


Di samping itu, Affin Hwang menaik taraf Malakoff Corp Berhad kepada ‘beli’ dengan harga sasaran baharu RM1.30 sesaham, disebabkan pendedahan pendapatan tinggi kepada segmen penjanaan tenaga.


Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan segmen penjanaan tenaga akan menarik minat pelabur memandangkan kapasiti yang semakin ketat dan pertumbuhan permintaan secara mapan.


Situasi ini jelasnya, akan mendorong pelaburan dalam projek baharu, penyambungan perjanjian pembelian tenaga (PPA), dan peningkatan nilai aset pengeluar tenaga bebas (IPP) yang sedia ada.


"Kebanyakan sudah mengalami susut nilai dan isu gangguan baru-baru ini dijangka memberi sokongan kepada inisiatif Grid Tenaga ASEAN yang mengukuh keselamatan tenaga serantau," kata Affin Hwang.


Sehubungan itu tambahnya, melalui perdagangan elektrik rentas sempadan, unjuran ke atas permintaan elektrik Semenanjung Malaysia berkembang antara 4% hingga 4.5% setahun dari 2024 hingga 2030.


Pertumbuhan positif itu didorong terutamanya oleh projek DC, namun dari segi penawaran, hanya satu projek hidroelektrik iaitu loji Nenggiri (300MW) di Kelantan yang sedang dibangunkan ketika ini.


Affin Hwang berkata, setakat ini belum ada projek arang batu atau gas baharu yang dalam pembinaan, dengan meskipun terdapat banyak projek solar dirancang, kapasiti ini masih tidak mencukupi.


"Kami mendapati ia tidak mampu untuk menampung permintaan ketika waktu puncak pada sebelah malam tanpa bantuan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) yang stabil," jelas firma penyelidikan itu.


Bagaimanapun risiko terhadap prospek positif sektor ini termasuk pertumbuhan permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan, perubahan dasar kawal selia dan persaingan sengit bidaan projek.


Firma berkenaan turut memberi amaran kemungkinan berlaku kejatuhan secara mendadak harga tenaga
dan gangguan operasi luar jangka yang boleh menjejaskan margin syarikat. - DagangNews.com