KUALA LUMPUR 18 Sept – Sektor telekomunikasi negara berada dalam fasa tunggu dan lihat terhadap keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas pajakan menara.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), keputusan itu dijangka memberi impak langsung kepada prestasi kewangan kesemua syarikat telekomunikasi bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2025.
Jika tiada pengecualian katanya, CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd berisiko mencatat penurunan sehingga 1.6% ke atas pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) masing-masing.
“Kesannya mungkin kecil secara individu, namun tetap signifikan kepada margin keuntungan dalam suasana perbelanjaan modal yang tinggi dan ketidaktentuan dasar 5G semasa,” kata firma tersebut.
HLIB menambah, Kementerian Kewangan pernah mengumumkan perluasan skop SST, termasuk penyewaan dan pajakan menara, melalui peruntukan dalam Jadual Pertama Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada lagi tarikh muktamad mengenai pelaksanaan cukai tersebut yang kadarnya ditetapkan sebanyak 8% dan keadaan berkenaan turut mencetuskan pelbagai persoalan.
Ketika ini, sektor itu masih dibayangi isu peralihan kepada model Dwirangkaian Pukal (DWN) dan ketidaktentuan masa depan Digital Nasional Berhad (DNB) selaku entiti tunggal 5G milik kerajaan.
"Justeru, bagi mengekalkan operasi DNB, tiga pemain utama, CelcomDigi, Maxis dan YTL Corp Berhad, masing-masing menyuntik dana RM117 juta sebagai modal kerja entiti itu baru-baru ini," kata HLIB.
Dalam perkembangan yang berkaitan, firma penyelidikan berkenaan menyatakan kebimbangan CelcomDigi apabila membangkitkan mengenai cadangan peruntukan tambahan spektrum 5G untuk ditawarkan.
Syarikat telekomunikasi tersebut tambah firma itu, menekankan perbezaan struktur antara DNB selaku penyedia borong 5G dan syarikat swasta seperti U Mobile yang hanya beroperasi di peringkat runcit.
“Sebarang penstrukturan kembali atau pelupusan semula spektrum yang sedia ada kepada DNB dijangka rumit, memandangkan peruntukan sekarang dimiliki oleh pengendali sedia ada,” tambah HLIB.
Ia mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi, namun cenderung kepada operator talian tetap yang dinilai penting dalam pembangunan infrastruktur jalur lebar, 5G dan pusat data.
Sehubungan itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) dinamakan sebagai saham pilihan utama oleh firma penyelidikan tersebut dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) sebanyak RM7.90 sesaham.
Sementara Axiata Group Berhad pula dilihat HLIB, sebagai saham yang bersifat pacuan situasi, dengan isu potensi pelupusan aset kumpulan berkenaan mampu mengecilkan jurang penilaian semasa.
"Maxis Berhad pula kekal menarik untuk pelabur jangka sederhana disebabkan oleh pertumbuhan kukuh segmen pascabayar dan disiplin kawalan kos yang ketat," katanya. - DagangNews.com








