KUALA LUMPUR 5 Mac - Sektor telekomunikasi dijangka terus menawarkan pulangan dividen yang menarik kepada pelabur, disokong pertumbuhan kukuh hasil perkhidmatan tetap serta pendapatan mudah alih yang kekal stabil pada suku keempat tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025).
Menurut CIMB Securities, prestasi kukuh sektor itu memberi asas yang baik kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan dasar pembayaran dividen yang kompetitif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, Telekom Malaysia Bhd mengejutkan pasaran secara positif apabila mengumumkan dividen sebanyak 18.5 sen sesaham bagi suku tersebut, bersamaan nisbah pembayaran dividen 69%, iaitu yang tertinggi sejak 2018.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan usaha syarikat untuk mengurus struktur modal dengan lebih cekap.
“TM dijangka meningkatkan nisbah pembayaran dividen bagi FY2026 hingga FY2027F berikutan penjanaan aliran tunai yang kukuh serta kedudukan kunci kira-kira yang kurang leveraj,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sebaliknya, walaupun TIME dotCom Bhd mencatat pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) tertinggi sebanyak 11% tahun ke tahun, pembayaran dividennya dilihat mengecewakan apabila hanya mengisytiharkan 27.1 sen sesaham.
Ini berikutan kumpulan tersebut memutuskan untuk melanjutkan tempoh sasaran nisbah hutang bersih kepada EBITDA daripada satu hingga dua tahun kepada dua hingga tiga tahun.
Bagi Maxis Bhd pula, CIMB Securities menjangkakan syarikat itu terus menawarkan pulangan dividen menarik berdasarkan unjuran pembayaran dividen antara 18 hingga 19 sen sesaham bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Pada peringkat industri, firma itu meramalkan hasil perkhidmatan mudah alih akan meningkat 1.8% tahun ke tahun pada 2026, manakala perkhidmatan tetap dijangka berkembang lebih pantas pada kadar 3.6% tahun ke tahun.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor telekomunikasi susulan prestasi kukuh 4QFY2025.
Firma itu mengekalkan Telekom Malaysia Bhd sebagai pilihan utama dengan harga sasaran RM8.20 dan penarafan “beli”, didorong potensi peningkatan dividen serta peluang penciptaan nilai melalui pembangunan pusat data.
Dalam masa sama, CelcomDigi Bhd dinaik taraf daripada penarafan “tahan” kepada “beli” dengan harga sasaran tidak berubah RM3.85, selepas penilaian sahamnya menjadi lebih menarik susulan penyusutan harga sekitar 15% sepanjang tahun lalu.
Bagi TIME dotCom Bhd, penarafan diturunkan daripada “beli” kepada “tahan”, walaupun harga sasaran dinaikkan sedikit kepada RM6.20 berdasarkan penilaian semasa kumpulan itu.
Sementara itu, penarafan “beli” bagi Maxis Bhd dikekalkan dengan harga sasaran RM4.55. - DagangNews.com








