KUALA LUMPUR 11 Sept – Pemulihan kukuh sektor semikonduktor mendorong UWC Berhad mencatatkan lonjakan untung bersih 197% tahun ke tahun (YoY) bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025.
Menurut Phillip Capital, situasi positif berkenaan menyaksikan kumpulan itu merekodkan RM47.8 juta pada FY25 dengan prestasi cemerlang turut disertai pencapaian penting dalam suku ke suku (QoQ).
Firma penyelidikan tersebut menambah, kumpulan berkenaan melepasi paras hasil suku tahunan RM100 juta buat pertama kali dan juga menandakan selama lapan suku berturut-turut pertumbuhan hasil.
"Keputusan kewangan UWC selari jangkaan dan kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 12 bulan yang disemak naik kepada RM3.70 berbanding RM2.60," kata firma itu dalam nota kajiannya.
Selain itu, Phillip Capital menjangka penilaian ke atas saham UWC akan terus meningkat seiring dengan rekod kejutan pendapatan positif yang berterusan serta dipacu oleh beberapa faktor utama.
Antaranya kata firma tersebut, ialah peningkatan tahap kecekapan pengeluaran kumpulan berkenaan sendiri dan pemulihan permintaan ke atas produk keluarannya dalam pasaran utama di luar negara.
UWC baru-baru ini, melaporkan pendapatan RM386 juta bagi FY25, meningkat 55% YoY, terutamanya disebabkan permintaan kukuh dalam segmen semikonduktor 'front-end' serta operasi lebih efisien.
"Bagi tempoh suku keempat FY25 sahaja, untung bersih meningkat kira-kira 44% QoQ kepada sebanyak RM18.6 juta, selepas dilaksanakan pelarasan bagi beberapa perkara," kata Phillip Capital.
Ini meliputi keuntungan pertukaran asing (RM1.2 juta), keuntungan pelupusan (RM0.1 juta) dan peruntukan hutang ragu (RM3.5 juta) dengan kadar penggunaan kilang adalah stabil kepada 70%.
Katanya, UWC terus menunjukkan momentum pertumbuhan kukuh apabila buku tempahan meningkat kepada RM180 juta dengan komposisi 35% dari segmen 'front-end', manakala 49% dari segmen 'back-end'.
Suku terakhir tersebut jelas Phillip Capital, menyaksikan pertambahan berbanding pada 3QFY25 yang merekodkan sebanyak RM160 juta, dengan 4QFY25 pula mula menunjukkan banyak tanda pemulihan.
"Margin juga dijangka pulih berterusan dengan tiada lagi bayaran perundingan serta kestabilan dalam hasil pengeluaran selain kumpulan tersebut mendapat manfaat daripada insentif cukai," katanya.
Ia diperoleh melalui elaun pelaburan semula disebabkan usaha pembelian jentera baharu, namun UWC juga perlu berwaspada risiko utama termasuk pemulihan permintaan global yang mungkin lebih perlahan.
Pada masa sama, Phillip Capital menjangkakan cabaran akibat pengukuhan nilai ringgit secara mendadak, dan tekanan terhadap margin keuntungan yang boleh menjejaskan hasil. - DagangNews.com








