Sektor sarung tangan tidak cukup kuat atasi cabaran lebihan stok global - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor sarung tangan tidak cukup kuat atasi cabaran lebihan stok global - AmInvestment

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 April — Sektor sarung tangan tempatan dijangka tidak memiliki kekuatan mencukupi untuk mendepani cabaran lebihan bekalan ketika ini, kata AmInvestment Bank Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pengenaan tarif timbal balik yang tinggi ke atas produk sarung tangan China oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak membantu industri tempatan mengisi peluang terbaik itu.


Ia turut mengulangi penarafan "underweight" sebagai penilaian secara umum ke atas sektor berkenaan kerana percaya tarif dikenakan itu tiada kesan yang ketara kepada pengilang China meskipun mulanya dianggap positif.


"Walaupun keyakinan jangka pendek terhadap harga jualan purata berpotensi kukuh di pasaran AS, kami berhati-hati kerana peralihan strategik oleh pemain China terus mempengaruhi asas sektor," katanya dalam nota kajian.


AmInvestment juga terus kekal berhati-hati terhadap masa depan industri sarung tangan tempatan dengan mengambil kira pelbagai faktor sampingan termasuk berdasarkan dinamik bekalan dan inflasi kos semasa yang berubah-ubah.


Sehubungan itu firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "underweight"  kepada Kossan Rubber Industries Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.60 dan "jual" untuk Top Glove Corporation Berhad dengan TP 68 sen.


Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan "pegang"  kepada Hartalega Holdings Berhad dengan TP yang lebih rendah sebanyak RM2.30 berbanding RM3.00 sebelum ini berdasarkan sasaran ekuiti persendirian adalah dijangka kurang.


"Kami berpendapat persaingan yang semakin sengit dalam pasaran AS mungkin menghakis harga premiumnya dalam jangka sederhana hingga panjang di sebalik isu lonjakan tarif kepada produk China," kata AmInvest. - DagangNews.com