Sektor runcit bantu Al-Salam REIT kembali pulih pada 2QFY25 selari jangkaan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor runcit bantu Al-Salam REIT kembali pulih pada 2QFY25 selari jangkaan - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Prestasi pertumbuhan Al-Salam Real Estate Investment Trust (Al-Salam REIT) bagi suku kedua tahun kewangan 2025 menunjukkan pemulihan semula ketara tahun ke tahun (YoY).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, situasi positif itu dipacu oleh peningkatan kukuh dalam segmen runcit, walaupun segmen pejabat dan industri pula terus mencatat kelemahan sederhana.


Menurutnya, perolehan dan pendapatan bersih teras bagi 2QFY25 adalah selaras jangkaan, dengan hasil teras 1H25 sebanyak RM6.3 juta, mewakili 52% daripada unjuran tahun penuh firma penyelidikan itu.


"Bagi 2Q25, pendapatan Al-Salam REIT meningkat 13% YoY kepada RM22.1 juta, didorong peningkatan 24% dalam pendapatan runcit daripada kadar sewaan yang lebih tinggi dan pendapatan promosi," katanya.


Tambah firma berkenaan dalam notanya, pendapatan bersih hartanah (NPI) direkodkan Al-Salam REIT turut meningkat 14% kepada RM14.6 juta, dengan segmen runcit mencatat lonjakan sebanyak 38%.


Bagaimanapun kata Maybank IB, segmen pejabat menyusut sebanyak 9% akibat kemerosotan hasil sewaan, manakala segmen industri didapati turun kira-kira 4% akibat kos operasi yang semakin meningkat. 


Segmen restoran serta perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) kumpulan amanah pelaburan hartanah itu pula tambah firma berkenaan, adalah kekal stabil di bawah pajakan bersih antara tiga pihak.


"Pendapatan teras bersih suku ini melonjak 188% YoY kepada RM3.0 juta, walaupun ada sedikit merosot QoQ sebanyak 7% disebabkan kos runcit lebih tinggi dan kelemahan dalam NPI industri," katanya.


Maybank IB turut menekankan potensi jangka sederhana positif Al-Salam REIT disokong penambahbaikan berterusan bangunan KOMTAR JBCC serta projek pemangkin seperti RTS Link Johor Bahru–Singapura.


Sementara itu, @Mart Kempas kekal hampir penuh dengan kadar penghunian 97%, manakala Menara KOMTAR mungkin berdepan tamat pajakan dalam FY26, namun pengurusan yakin menangani isu ini.


Keadaan tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, memandangkan faktor lokasi strategik kompleks tersebut di dalam pusat bandar Johor Bahru sendiri dan memang menjadi tumpuan masyarakat setempat.


"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran 40 sen disebabkan keterbatasan pemangkin jangka dekat, namun menyokong prospek agihan pendapatan yang stabil," kata Maybank IB lagi.


Sebarang penilaian semula adalah positif ke atas saham ini namun bergantung kepada kadar kejayaan pelaksanaan strategi kumpulan berkenaan di KOMTAR JBCC dan penjanaan semula nilai aset utama.


Dengan pemulihan kukuh yang dipacu sektor runcit, Al-Salam REIT kekal sebagai pemain REIT patuh syariah yang perlu diperhatikan, meskipun cabaran masih berlegar di segmen lain. - DagangNews.com