Sektor REIT dikhuatiri susut hasil pada 2HFY25 akibat peluasan SST — CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor REIT dikhuatiri susut hasil pada 2HFY25 akibat peluasan SST — CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Hasil sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia dikhuatiri susut pada separuh kedua disebabkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, cukai baharu itu memberi tekanan kepada penyewa dan pemilik premis serta mungkin meningkatkan kos operasi di samping mengehadkan pengembalian sewa REIT.


Katanya, setiap kejatuhan walaupun satu mata peratusan dalam urus niaga pengembalian sewa boleh mengurangkan keuntungan bersih teras untuk pengusaha REIT di bawah liputan sehingga dua peratus.


“Selain itu, ia mungkin mempengaruhi sentimen pengguna, mengakibatkan volum jualan lebih rendah, yang berpotensi menjejaskan komponen sewa berubah-ubah untuk REIT runcit,” katanya dalam satu nota.


Kerajaan merancang pelaksanaan cukai 8% mulai 1 Julai 2025 sebagai sebahagian pengembangan SST tetapi pengecualian diberi untuk penyewaan dengan perolehan hasil sewa tahunan di bawah RM500,000.


Sebelum ini, sebahagian besar peruncit dilaporkan mengadu bahawa peluasan SST membebankan lagi perniagaan dan akhirnya memberi kesan buruk kepada pengguna melalui peningkatan kadar inflasi.


Penyewaan adalah antara kos tetap yang paling besar bagi kebanyakan perniagaan, menurut Persatuan Peruncit Malaysia sendiri sambil meminta penangguhan agar peniaga dapat melakukan persediaan rapi.


Mengulas lanjut, CIMB Securities berkata, sudah ada tanda-tanda dalam kalangan pengguna runcit REIT mengurangkan perbelanjaan, seperti ditunjukkan dalam jualan penyewaan yang lebih lemah kali ini.


"Sebilangan didapati telah mencatatkan penyusutan dalam angka jualan bagi setiap kaki persegi seperti direkodkan berlaku di Sunway REIT dan Mid Valley Megamall IGB REIT," kata firma berkenaan.


Tambahan pula katanya,, kenaikan tarif elektrik diunjur meningkatkan kos operasi hartanah dan seterusnya menekan pendapatan REIT jika beban kos tersebut tidak diserapkan pula kepada penyewa.


Peningkatan hampir 15 peratus dalam tarif asas tenaga kata CIMB Securities, dikhuatiri mengurangkan pendapatan sebanyak kira-kira 2 peratus kepada Sentral REIT, IGB REIT, dan Sunway REIT.


Hanya Axis REIT akan menghadapi impak minimum daripada potensi semakan semula tarif elektrik kerana 74% daripada hartanahnya disewa tunggal, dengan pendapatannya dijangka kurang kepada 1% sahaja.


Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor REIT kecuali Axis REIT sebagai 'beli' kerana potensi, struktur kos yang stabil dan asas penyewa berdaya tahan. - DagangNews.com