KUALA LUMPUR 18 Sept – Industri sarung tangan getah masih terperangkap dalam keadaan lambakan bekalan global dan kuasa penetapan harga produk yang tetap rendah, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, meskipun terdapat peningkatan eksport pada Julai 2025 yang melonjak 64% secara bulanan (MoM) dan 6% secara tahunan (YoY), sektor itu tetap lemah.
Ia turut menamakan Riverstone Holdings Ltd sebagai satu-satunya pilihan sektor ini, memandangkan syarikat itu mempunyai model perniagaan yang lebih defensif berbanding rakan-rakan seindustri.
“Hasil sektor pada Jun 2025 dilihat lemah akibat gangguan bekalan gas asli selama 10 hari, serta kelewatan tempahan berikutan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS),” kata RHB Research.
Walaupun eksport pada Julai 2025 meningkat selepas empat bulan berturut-turut merosot, sebahagian besar ditujukan ke pasaran bukan AS yang menawarkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah.
AS kini hanya menyumbang 45% daripada jumlah eksport sarung tangan Malaysia, berbanding 75% pada Jun 2025, menunjukkan tekanan persaingan sengit pasaran luar AS, khususnya pengeluar di China.
RHB Research turut memberi amaran mengenai perkembangan banyak pengeluar sarung tangan berasaskan China yang berada di Indonesia dan Vietnam bakal memulakan operasi mereka seawal Oktober 2025.
"Sektor getah tempatan perlu sedar kerana dua negara ini dianggarkan mengeluarkan kapasiti tahunan sekitar 10 bilion helai, atau 6% daripada kapasiti lima pengeluar utama di Malaysia," katanya.
Harga tawaran mereka pula kata firma berkenaan dijangka AS$2 (kira-kira RM8.40) lebih murah setiap 1,000 helai, berbanding harga semasa AS$19 (RM79.70) yang ditawarkan oleh pengeluar Malaysia.
Keadaan tersebut tambah RHB Research, sekali gus boleh mengancam pegangan eksport Malaysia ke pasaran AS kerana permintaan sudah tentu memihak kepada produk sarung tangan getah yang murah.
“Walaupun Malaysia masih mengekalkan kualiti dan kepatuhan piawaian tinggi, segmen sarung tangan generik kini lebih mudah terjejas akibat perang harga dan lebihan bekalan,” tambahnya lagi.
Sektor ini katanya, diniagakan pada penilaian 0.76 kali nilai buku hadapan 12 bulan, iaitu diskaun 1.4 sisihan piawai di bawah purata tiga tahun, situasi ini tidak mencerminkan peluang penilaian.
Sebaliknya jelas RHB Research, ia dianggap sebagai petanda yang mencerminkan halangan struktur secara berterusan dan menjejaskan prospek keuntungan syarikat terbabit dalam masa terdekat.
"Ramalan konsensus masih belum lagi sejajar dengan realiti operasi semasa, manakala risiko prestasi pendapatan yang mengecewakan adalah kekal tinggi,” tambah firma penyelidikan tersebut.
Berdasarkan perkembangan semasa ketika ini, ia terus mengekalkan saranan 'underweight' terhadap sektor produk getah dengan memberi amaran mengenai pelbagai risiko utama dalam masa terdekat.
Antaranya pengukuhan dolar AS, kenaikan ASP sarung tangan, perluasan kapasiti lebih cepat daripada jangkaan, serta penurunan harga bahan mentah yang amat ketara. - DagangNews.com








