Sektor produk getah masih dinilai lemah, RHB Research kekal penarafan 'underweight' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor produk getah masih dinilai lemah, RHB Research kekal penarafan 'underweight'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 DisRHB Research mengekalkan penarafan 'underweight' ke atas sektor produk getah berikutan keputusan suku ketiga FY25 sekali lagi mengecewakan, biarpun industri semakin kompleks.


Firma penyelidikan tersebut berkata, persaingan harga antara pengeluar semakin ketara, menyebabkan pemulihan volum yang tidak sekata walaupun isu gangguan bekalan gas sudah lama berjaya dipulihkan.


Menurutnya, meskipun harga jualan purata (ASP) susut kepada AS$21 (RM86.52) setiap 1,000 keping, kos tidak dapat dipindahkan kepada pelanggan di sebalik kelebihan harga bahan mentah yang rendah.


"Daripada enam syarikat di bawah liputan, hanya Top Glove mengatasi jangkaan, Hartalega mencatat keputusan yang selari ramalan, manakala selebihnya kurang daripada unjuran," kata RHB Research.


Tiga perkembangan utama dikenal pasti firma tersebut menyebabkan situasi berkenaan antaranya, pemulihan volum yang tidak seimbang serta peralihan jualan ke pasaran bukan Amerika Syarikat (AS).


Selain itu, jurang ASP semakin luas antara pengeluar disebabkan strategi operasi berbeza, serta
peningkatan berterusan perolehan setiap karton daripada penjimatan operasi dan kos input rendah.


Perubahan unjuran keuntungan turut mengakibatkan RHB Research mengambil kira jangkaan volum lebih rendah selain penilaian semula kadar pertukaran semasa antara mata wang ringgit dan dolar AS.


"Kami memberi amaran bahawa ASP sektor penjagaan kesihatan generik mungkin kembali menurun, dipacu peningkatan bekalan daripada pengeluar China yang menggunakan fasiliti luar pesisir," katanya.


Kapasiti baharu berpangkalan di Indonesia mula beroperasi secara berperingkat dengan ASP AS$2 (RM8.24) lebih rendah daripada ASP produk generik di AS mencecah AS$18 (RM74) bagi 1,000 keping.


Di samping itu jelas RHB Research, kos operasi naik ekoran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib untuk pekerja asing mulai Oktober 2025 yang menambah kos pengeluaran sekitar 0.1%.


Pelaksanaan levi secara berperingkat terhadap pekerja asing yang bermula 2026 katanya, dijangka menambah kos sebanyak 0.5%, bersamaan dengan AS$0.07 (kira-kira 28 sen) setiap 1,000 keping.


"Satu-satunya kelegaan yang kami kenal pasti ialah keberkesanan usaha rasionalisasi kos yang mungkin dapat memperbaiki margin syarikat produk getah dalam jangka pendek," kata firma tersebut.


Walaupun sektor itu diniagakan 0.9 kali nisbah harga kepada buku (PBV) 12 bulan, RHB Research menegaskan ia mencerminkan risiko struktur berpanjangan dan mengekalkan pandangan 'underweight'.


Bagaimanapun, ia mengambil pendekatan lebih taktikal terhadap pemilihan saham, antaranya dengan menaik saranan Supermax kepada 'beli' selepas aliran tunai operasi kumpulan itu kembali pulih.


Sebaliknya kata firma penyelidikan itu, Karex kekal syor 'jual' ekoran marginnya lemah, manakala Kossan dan Riverstone diturunkan kepada 'neutral' berikutan prestasi yang tidak memenuhi jangkaan.


"Top Glove dinaik taraf kepada 'neutral' selepas keputusan kewangan yang mengejutkan, tetapi kami menganggap kelebihan kosnya bersifat sementara kerana dipacu faktor lateks," kata RHB Research.


Ia memberi amaran risiko peningkatan dolar AS, kenaikan ASP sarung tangan, kelewatan perluasan kapasiti dan harga bahan mentah rendah daripada jangkaan boleh mengubah prospek sektor. - DagangNews.com