KUALA LUMPUR 24 Okt – Sektor produk getah masih dilihat berdepan dengan pemulihan permintaan sarung tangan getah tidak sekata didorong oleh sentimen pasaran dan bukan faktor asas yang kukuh.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'underweight' dan menegaskan yang halangan struktur berpanjangan dijangka terus membataskan prospek pertumbuhan sektor berkenaan
Cabaran berkenaan kata firma penyelidikan itu, termasuk lebihan bekalan global, persaingan semakin sengit di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan bukan AS, serta kuasa harga yang dinilai masih lemah .
“Walaupun sektor ini mengalami proses penarafan semula baru-baru ini, kami melihat pemulihan masih bersifat lemah dan banyak didorong sentimen pasaran,” katanya dalam laporan terbaharu firma itu.
RHB Research menasihatkan pelabur agar memberi tumpuan kepada pengeluar yang lebih cekap dan dilihat memiliki pendedahan amat tinggi terhadap produk bukan generik seperti sarung tangan khas.
Firma penyelidikan tersebut justeru menjadikan Kossan Rubber Industries Berhad sebagai pilihan utama dalam sektor ini dengan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.38 sesaham.
Ia turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan eksport sarung tangan negara mencatatkan peningkatan 64% bulan ke bulan (MoM) pada Julai dan penurunan 6% pada Ogos.
"Selain itu, aktiviti penambahan stok sudah bermula dipacu oleh penyusutan stok akibat pembelian awal pada suku keempat 2024 serta tamat baki inventori era wabak Covid-19," kata RHB Research.
Bagaimanapun, data import AS bagi Julai menunjukkan sebahagian besar peningkatan volum eksport Malaysia tertumpu kepada pasaran bukan AS, dengan AS kini hanya 45% berbanding 75% pada Jun 2025.
Di samping itu, firma penyelidikan berkenaan turut melaporkan tekanan harga yang semakin ketara sudah berlaku di pasaran AS, meskipun pengeluar China masih belum kembali secara besar-besaran.
Tindakan Top Glove Corporation Berhad kata RHB Research yang menurunkan harga jualan purata (ASP) produk keluarannya dilihat boleh mencetuskan persaingan perang harga antara pengeluar tempatan.
"Kami tidak menolak kemungkinan syarikat ini sedang meraih semula bahagian pasaran mereka, namun menegaskan yang kelebihan produk berkenaan masih berpaksikan kepada faktor kos lateks," katanya.
Dengan jangkaan kenaikan harga pekatan lateks pada suku keempat 2025 berikutan faktor musim hujan lebat di Asia Tenggara, ia menambah, kelebihan kos Top Glove berkemungkinan adalah mengecil.
RHB Research turut menilai peningkatan kos operasi pada separuh kedua 2025 mungkin tidak setinggi jangkaan berikutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap bahan mentah import.
Pada masa sama, impak daripada dasar baharu seperti sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing bermula Oktober 2025 dijangka menambah kos pengeluaran sekitar 0.1%.
"Manakala pelaksanaan mekanisme levi secara berperingkat (MLTM) pada 2026 pula, hanya dijangka meningkatkan kos sebanyak 0.5% kepada syarikat-syarikat yang terbabit," kata firma berkenaan.
Bagaimanapun RHB Research mengakui potensi kenaikan yang menyokong sektor ini termasuk pengukuhan nilai dolar AS, peningkatan ASP sarung tangan dan pertumbuhan kapasiti lebih pantas. - DagangNews.com








