Sektor petrokimia terus suram, langkah rasionalisasi China gagal atasi lambakan – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor petrokimia terus suram, langkah rasionalisasi China gagal atasi lambakan – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 SeptCGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'underweight' terhadap sektor petrokimia Malaysia, khususnya PETRONAS Chemicals Group (PCG) dan Lotte Chemical Titan Berhad.


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan susulan jangkaan berlaku lebihan bekalan produk poliolefin dalam pasaran antarabangsa yang diramal masih lagi boleh berterusan sehingga 2027.


Usaha China dan Korea Selatan mengurangkan kapasiti 'cracker' lama dilihat tidak mencukupi untuk mengimbangi jumlah kapasiti baharu yang bakal memasuki pasaran dalam tempoh tiga tahun akan datang.


“Berdasarkan data Chemical Market Analytics (CMA), lebihan kapasiti dalam rantaian nilai etilena dan propilena dijangka bertambah buruk menjelang 2027,” jelas CGSI dalam nota kajiannya hari ini.


Walaupun China memperkenalkan dasar 'Anti-Involution' bagi menyekat persaingan berlebihan dalam industri kimia, ia berpendapat masih terlalu awal untuk mengandaikan penutupan loji besar-besaran.


Setakat ini, CMA menganggarkan penutupan kapasiti etilena di China sebanyak 6.9 juta tan setahun, berbanding 26.4 juta tan setahun kapasiti baharu yang akan mula beroperasi antara 2025 hingga 2027.


Tambahan pula kata CGSI, banyak loji milik syarikat berkaitan kerajaan (SOE) di negara berkenaan sudah menjalani penambahbaikan sejak 2021 dan mungkin terlepas daripada keperluan penutupan.


“Kebanyakan kapasiti berusia lebih 20 tahun di China juga beroperasi pada kadar penggunaan rendah. Maka, kesan sebenar terhadap pengeluaran mungkin lebih kecil daripada yang dijangka,” jelasnya.


Di Korea Selatan, kerajaan meminta 10 pengeluar utama menyerahkan pelan penyusunan semula kapasiti menjelang akhir 2025, dengan potensi pengurangan antara 2.7 juta hingga 3.7 juta tan setahun.


Angka tersebut menurut CGSI, hanya sekitar 3.8% daripada kapasiti rantau Asia Pasifik, tetapi proses rundingan dijangka memakan masa memandangkan sebahagian besar syarikat adalah entiti swasta.


Tambahan pula, projek mega 'cracker' baharu dikenali sebagai S-Oil akan menambah sebanyak 1.8 juta tan kapasiti etilena menjelang tempoh separuh kedua 2026, dan mengurangkan impak rasionalisasi.


"Situasi di Asia Tenggara juga mencabar. Di Malaysia, PRefChem dilaporkan menjalani ujian keandalan (CRT) sejak Jun 2025, menyebabkan banyak produk kimia ke pasaran pada harga yang rendah," katanya.


Sementara di Vietnam pula kata CGSI, syarikat Long Son Petrochemicals turut kembali beroperasi sejak Ogos 2025 walaupun dalam keadaan pasaran negara berkenaan yang masih lagi terlebih bekalan.


Dalam pada itu katanya, projek LINE oleh anak syarikat Lotte Chemical Titan di Indonesia juga terus berjalan lancar dan bakal menambah tekanan ke atas harga produk petrokimia di rantau ASEAN.


Firma tersebut menjelaskan satu-satunya faktor positif ialah jika kerajaan China memperkenalkan kriteria penilaian yang sangat ketat untuk operasi loji serta boleh memaksa lebih banyak penutupan.


"Antaranya seperti aspek kecekapan tenaga, keamatan karbon, dan keselamatan loji, namun buat masa ini, tiada sebarang pun garis panduan rasmi diumumkan pihak berkuasa China," kata CGSI.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan memberi saranan 'kurang' kepada PCG dan Lotte dengan harga sasaran sesaham masing-masing RM3.40 dan 38 sen.  - DagangNews.com