KUALA LUMPUR 19 Jun — Aspek kesinambungan dasar adalah penting memastikan kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Beliau menyifatkan kesinambungan sebagai 'pemboleh paling penting' keyakinan sektor perniagaan sambil berkata dasar yang stabil adalah penting untuk menarik pelaburan jangka panjang ke rantau ASEAN.
Katanya, sebagai komuniti perniagaan terutama syarikat infrastruktur, beliau ingin kesinambungan dalam dasar kerana pelaburan adalah isu jangka panjang, dan aspek berkenaan adalah sangat penting.
"Kami adalah perniagaan dengan perbelanjaan modal yang tinggi. Kestabilan dasar adalah kritikal," katanya pada Forum Nikkei Medini, Johor 2025, anjuran bersama Iskandar Investment Bhd (IIB).
Moderator sesi itu, Azeem Abu Bakar, turut menunjukkan contoh seksyen pembangunan hartanah UEM sendiri, UEM Sunrise, apabila peralihan dasar mempengaruhi sentimen pelabur dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, ketika koridor pembangunan Iskandar Puteri pertama kali diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, saham UEM Sunrise didapati mula meningkat kepada sekitar RM3.
“Kemudian dari 2014, ada sekatan teruatama ke atas pembeli Singapura untuk meredakan kenaikan harga hartanah, dan harga saham jatuh kepada RM1 sebelum menjadi 20 sen ketika wabak Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, situasi kemudian namun kembali berubah positif, berikutan pengumuman kerajaan untuk membentuk JS-SEZ, dengan harga saham UEM Sunrise didapati melantun semula kepada melebihi RM1.
Azeem turut bertanya, sejauh mana kejelasan dasar diperlukan untuk mengekalkan momentum terutamanya setelah peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli dan ketiadaan pengganti dinamakan.
Pelan tindakan komprehensif JS-SEZ, yang diketuai Rafizi, dijangka dimuktamad dan diumumkan akhir 2025 dengan menggariskan visi jangka panjang, hala tuju strategik dan peluang untuk pelaburan.
Bagaimanapun susulan kekalahan Rafizi dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, beliau meletakan jawatannya sebagai menteri berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum pengundurannya, Rafizi memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa kemajuan JS-SEZ tidak terjejas oleh perubahan politik, dan kerajaan komited terhadap pembangunan jangka panjangnya.
Mengulas mengenai perkembangan ketika ini, Amran turut menekankan keperluan pihak kerajaan untuk membina kumpulan bakat yang lebih kukuh bukan sahaja di Johor malah untuk seluruh Malaysia.
Memupuk bakat tempatan dari Johor sendiri katanya, adalah keutamaan nombor satu manakala yang kedua, kita perlu menarik banyak tenaga kerja berbakat dari bahagian-bahagian lain di Malaysia.
"Tema forum ini juga ialah 'Memacu Hab Inovasi Asia' tetapi jika tiada bakat yang diperlukan industri, maka tiada inovasi dan itu bermakna tiada apa-apa hab dapat diwujudkan," kata Amran.
Di sebalik perubahan politik, beliau menyatakan keyakinan terhadap kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor dengan Singapura dalam merangka insentif untuk memacu pertumbuhan.
“Kami berharap apa sahaja dasar yang digubal sekarang dan pada masa hadapan, perlu memudahkan urusan perniagaan di JS-SEZ,” tambah Amran. - DagangNews.com








