KUALA LUMPUR 4 Dis — Sektor perladangan mencatatkan prestasi kukuh sepanjang 3Q25, dengan banyak syarikat mencatatkan keuntungan selaras atau melebihi jangkaan Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, sektor ini terus didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil dan produktiviti lebih tinggi, walaupun segmen hiliran dilihat masih berdepan dengan pelbagai cabaran.
Situasi tersebut jelasnya, disebabkan lebihan kapasiti dan ketidaktentuan permintaan antarabangsa, namun segmen huluan, menyaksikan kenaikan hasil pengeluaran secara bermusim menyokong keuntungan.
"Bagaimanapun, SD Guthrie hanya mencatat peningkatan margin kecil akibat kos pengeluaran tinggi, manakala Hap Seng Plantations mengekalkan unjuran pengeluaran buah tandan segar (BTS)," kata HLIB.
Sementara itu, segmen hiliran memperlihatkan prestasi bercampur, dengan IOI Corp dan SD Guthrie mencatatkan keputusan baik, tetapi KL Kepong merosot akibat persaingan sengit dari Indonesia.
Permintaan menerusi segmen kecil oleokimia yang lemah juga mempengaruhi banyak syarikat, namun firma itu mengekalkan purata unjuran harga MSM kepada RM4,300 tan (2025) dan RM4,200 tan (2026).
Perkembangan tersebut kata HLIB, berikutan sokongan dari pengeluaran kelapa sawit secara bermusim yang lebih rendah serta permintaan stabil bagi memenuhi agenda dasar biodiesel B50 di Indonesia.
"Kami turut menilai risiko pengeluaran sawit di Indonesia dan pelaksanaan semula mandat B50 yang dijangka mengekalkan harga MSM kepada paras agak tinggi," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Sehubungan itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor perladangan, manakaka pilihan utamanya ialah SD Guthrie dengan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.76 sesaham.
Ia didorong kepelbagaian pendapatan melalui projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan hartanah industri, serta disokong penyata kewangan bertambah baik, selain dividen menarik mencecah 4%.
HLIB turut memilih Hap Seng Plantations (beli; TP: RM2.31) kerana memiliki baki tunai kukuh dan pendedahan tinggi terhadap harga MSM, menjadikannya penerima manfaat daripada harga sawit tinggi.
"Sektor perladangan dijangka menunjukkan ketahanan dalam tempoh terdekat, dengan pendedahan utama operasi huluan menjadi kelebihan berbanding risiko isu tanah di Indonesia," katanya. - DagangNews.com








