Sektor perladangan dinilai positif namun eksport masih lemah, pengeluaran rendah – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perladangan dinilai positif namun eksport masih lemah, pengeluaran rendah – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Okt – Harga purata minyak sawit mentah (MSM) mencatat peningkatan kepada RM4,372 setiap tan metrik (Mt) pada September 2025, naik 1.0% bulan ke bulan (MoM), kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, angka itu menyaksikan lonjakan 8.6% tahun ke tahun (YoY), dipacu sentimen risiko peraturan di Indonesia yang menimbulkan kebimbangan isu bekalan global.


Harga penutup bulan berada pada RM4,282 Mt selepas susut 2.4% dari paras tertinggi RM4,390 Mt pada awal bulan dan ia menjangkakan harga purata MSM meningkat 2.4% pada Oktober kepada RM4,495 Mt.


"Ia dipacu jangkaan pengeluaran rendah, prestasi eksport lemah dan stok tinggi. Sentimen terhadap pelaksanaan biodiesel B50 oleh Indonesia turut menyumbang peningkatan harga," jelas MBSB Research.


Kata firma itu dalam notanya, pengeluaran MSM naik sedikit 1.1% YoY kepada 1.84 juta tan, didorong oleh prestasi yang baik berlaku di Perak (+10.0% YoY), Sarawak (+4.0% YoY) dan Pahang (+0.2% YoY). 


Hasil buah tandan segar (BTS) meningkat 4.4% YoY kepada 12.65 tan sehektar, tetapi kadar perahan minyak (OER) menurun sedikit kepada 19.73% kerana kilang menjadi lebih selektif dalam pembelian.


Bagaimanapun kata MBSB Research, stok akhir pula meningkat kepada 2.36 juta Mt, naik 7.2% MoM dan 17.3% YoY, walaupun pengeluaran perlahan dengan eksport merosot kepada 1.43 juta tan (-8.5% YoY).


"Kami mendapati meskipun eksport asas MSM didapati meningkat sebanyak 23.8% kepada 336,000 tan, tetapi sumbangannya kepada jumlah keseluruhan eksport hanya 23.6%," tambah firma penyelidikan itu.


Sebaliknya kata firma berkenaan, produk terbitan termasuk oleo adalah susut 8.6% YoY, dengan permintaan dari India terjejas akibat duti import tinggi sebanyak 35.75% ke atas minyak bertapis. 


MBSB Research menambah, pemulihan eksport minyak kelapa dari Filipina turut melemahkan permintaan terhadap produk sawit tempatan dan ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan.


Justeru, firma itu meletakkan unjuran harga purata MSM pada RM4,300 Mt bagi 2025 dan RM4,200 Mt bagi CY26 dipacu ketidaktentuan pasaran kerana ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan.


"Pelaksanaan dasar agresif dari negara jiran seperti B50 oleh Indonesia pada separuh kedua 2026, dan permintaan global kekal lemah meskipun ada diskaun harga besar juga antara punca," katanya.


Perkembangan lemah itu kata MBSB Research, mencerminkan sentimen yang lebih berhati-hati dalam kalangan pengguna dan pembeli di seluruh dunia berbanding permintaan ke atas minyak kacang soya. 


Firma itu turut menurunkan penarafan untuk Ta Ann Holdings dan Sarawak Plantation kerana potensi kenaikan yang terhad, sebaliknya, IOI Corporation kini menjadi pilihan utamanya dengan saranan 'beli'.


Syarikat perladangan tersebut disokong oleh kos pengeluaran rendah dan kadar penggunaan kilang yang tinggi, manakala margin keuntungan diunjur melebihi 40% bagi segmen huluan. - DagangNews.com