Sektor perladangan dijangka catat prestasi kukuh, disokong unjuran harga sawit RM4,300 setan – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perladangan dijangka catat prestasi kukuh, disokong unjuran harga sawit RM4,300 setan – HLIB

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 NovHong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan andaian harga minyak sawit mentah (CPO) bagi 2025 dan 2026 masing-masing pada RM4,300 dan RM4,200 satu tan, dengan purata harga setakat tahun ini berada pada RM4,351 satu tan.

 

Menurut HLIB, kombinasi harga produk sawit yang lebih tinggi dan peningkatan bermusim dalam pengeluaran FFB dijangka memperkukuh pendapatan segmen huluan kebanyakan syarikat perladangan bagi suku ketiga tahun kewangan 2025.

 

“Segmen huluan dijangka merekodkan prestasi suku tahunan yang lebih baik, disokong oleh corak tuaian yang meningkat serta kos pengeluaran yang stabil,” kata HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka prestasi segmen hiliran kekal hambar disebabkan persaingan sengit dan lebihan kapasiti penapisan di Indonesia yang terus menekan margin penapisan.

 

“Selain itu, kos bahan mentah yang tinggi dan permintaan lemah dalam sub-segmen oleokimia turut memberi tekanan kepada keuntungan,” jelasnya.

 

Bagi suku tersebut, enam daripada tujuh syarikat perladangan di bawah liputan HLIB mencatatkan pertumbuhan output positif, dengan TSH Resources Bhd menjadi satu-satunya pengecualian apabila hasil FFB susut 1.2 peratus.

 

Dari segi tahunan, pendapatan huluan dijangka kekal mendatar hingga sedikit meningkat, disokong oleh harga produk sawit yang lebih kukuh, khususnya isirung sawit, serta penurunan kos baja. 

 

Namun, impak positif ini sebahagiannya diimbangi oleh pelaksanaan kenaikan gaji minimum di Malaysia sejak Februari 2025.

 

HLIB mengekalkan andaian harga minyak sawit mentah (CPO) bagi 2025 dan 2026 masing-masing pada RM4,300 dan RM4,200 satu tan, dengan purata harga setakat tahun ini berada pada RM4,351 satu tan.

 

Antara pemangkin utama yang berpotensi mengangkat harga CPO termasuk keadaan La Niña yang lebih teruk daripada jangkaan, yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit dan kacang soya di Amerika Selatan serta pelaksanaan lancar mandat biodiesel B50 di Indonesia.

 

Dengan prospek harga CPO yang positif dalam tempoh terdekat, HLIB mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor perladangan.

 

“HLIB terus menyukai syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan lebih besar terhadap operasi huluan di Malaysia, kerana mereka lebih sensitif kepada pergerakan harga CPO dan kurang terdedah kepada risiko rampasan tanah,” tambahnya.

 

Antara saham pilihan utama HLIB ialah SD Guthrie Bhd dengan harga sasaran RM5.76 dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd (HSP) dengan harga sasaran RM2.29.

 

“SD Guthrie kekal menarik dengan strategi mempelbagaikan sumber pendapatan melalui tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan hartanah industri, selain kedudukan kewangan yang semakin kukuh serta hasil dividen stabil antara 3 hingga 4 peratus.

 

“HSP pula menonjol dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM653.6 juta atau 81.7 sen sesaham setakat 30 Jun, serta kepekaan tinggi terhadap pergerakan harga CPO,” jelas HLIB. - DagangNews.com