Sektor perkayuan berdepan tekanan kos jangka pendek akibat tarif AS 19%, kata BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perkayuan berdepan tekanan kos jangka pendek akibat tarif AS 19%, kata BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Okt – Industri perkayuan dan berasaskan kayu tempatan dijangka berdepan cabaran tekanan kos jangka pendek berikutan pelaksanaan tarif import 19% oleh Amerika Syarikat (AS).


BIMB Securities berkata, cukai berkenaan yang meliputi segala produk tidak dikecualikan, mengakibatkan pengeksport bakal mengharungi isu peningkatan tarif berbanding kadar sifar sebelum ini.


AS kekal sebagai pasaran tunggal terbesar bagi perabot kayu Malaysia, merangkumi lebih 50% daripada jumlah eksport pada separuh pertama 2025, meningkat ketara berbanding 31% pada 2014.


“Walaupun tarif baharu ini dijangka menekan margin eksport dan permintaan hingga awal 2026, prospek perdagangan perkayuan Malaysia kekal berhati-hati,” kata firma tersebut dalam notanya.


Selain itu, BIMB Securities menjelaskan, eksport perabot kini menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan penghantaran, mencerminkan peralihan industri ke arah hiliran bernilai tambah tinggi.


Bagaimanapun, tahap kebergantungan besar terhadap pasaran AS menjadikan sektor perkayuan terdedah kepada kejutan dasar perdagangan luaran, terutamanya selepas pengenaan tarif baharu tersebut.


Setakat tempoh lapan bulan pertama 2025 tambahnya, sektor ini masih berjaya mengekalkan lebihan dagangan sebanyak RM8.6 bilion, disokong oleh eksport bernilai melebihi RM20 bilion setahun.


"Walaupun berdepan dengan isu tekanan tarif dan permintaan global yang sederhana, syarikat yang memiliki pensijilan kelestarian dinilai berada pada kedudukan lebih baik," kata BIMB Securities.


Ini termasuk Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) dan Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) untuk mengekalkan akses ke pasaran premium sensitif seperti Jepun.


Dua perakuan tersebut kata firma itu, amat menekankan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti ditetapkan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus mengimbangi kerugian akibat tarif AS.


BIMB Securities namun melihat asas sektor ini kekal kukuh dan pendedahan tarif Malaysia masih rendah berbanding pesaing serantau, yang memberi kelebihan daya saing perdagangan global stabil.


"Dalam jangka panjang, kami menjangka penjajaran industri kepada piawaian lestari dan produk jejak karbon rendah akan mengukuh daya saing Malaysia di pasaran maju," tambah firma penyelidikan itu.


Perkembangan positif tersebut jelasnya, bakal membuka pula banyak laluan ke arah usaha pemulihan beransur-ansur dan pertumbuhan secara mampan selepas tekanan tarif jangka pendek AS mulai reda.


Antara syarikat berkaitan kayu di Bursa Malaysia termasuk Jaya Tiasa Holdings Bhd, Sern Kou Resources Bhd, Mieco Chipboard Bhd, WTK Holdings Bhd dan Poh Huat Resources Bhd. - DagangNews.com