Sektor penjagaan kesihatan kekal teguh didukung trend positif pelancongan perubatan - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan kekal teguh didukung trend positif pelancongan perubatan - BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Dis – Aktiviti pelancongan perubatan yang meningkat, terutamanya dari Indonesia, terus menyokong keteguhan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, menurut BIMB Securities.


Firma penyelidikan itu menegaskan saham sektor ini mengekalkan pendapatan yang jelas, walaupun potensi kenaikan terhad oleh inflasi perubatan, kos buruh meningkat dan ketidaktentuan peraturan.


Justeru ia mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor, dengan prospek berterusan pada 2026, disokong oleh pemulihan prosedur elektif mencecah 95% iaitu paras sebelum isu wabak Covid-19.


"Trend penuaan akibat populasi warga emas dijangka melebihi 15% menjelang 2030, juga menyokong permintaan jangka panjang pengurusan penyakit kronik dan rawatan lanjut," kata BIMB Securities.


Selain itu, firma berkenaan menjangka inflasi perubatan tinggi setakat 5% pada 2026, dipacu oleh faktor penyesuaian gaji, peningkatan kos ubat global dan susut nilai daripada kapasiti tambahan.


Bagaimanapun operator swasta dinilai sebagai masih lagi mempunyai kuasa penetapan harga secara terhad untuk bilik premium dan prosedur berisiko tinggi yang membantu penjanaan hasil tahunan.


BIMB Securities menambah, bagi syarikat utama seperti KPJ Healthcare Bhd dan IHH Healthcare Bhd, peningkatan pesakit asing memberikan fleksibiliti harga bagi perkhidmatan bertaraf premium.


"Langkah berkenaan mampu menyokong margin operasi yang stabil, manakala risiko sederhana mungkin wujud daripada pelaksanaan Diagnosis-Related Group (DRG) yang belum diterapkan penuh," jelasnya.


Pendigitalan pula dilihat sebagai pemangkin kecekapan, yang dijangka dapat memberi manfaat margin melalui peningkatan kadar sistem kerja diproses dan pengurangan kos pentadbiran sepanjang FY26.


Berdasarkan situasi semasa, BIMB Securities mengekalkan sarana ‘pegang’ ke atas KPJ dan IHH dengan harga sasaran sesaham dalam masa 12 bulan akan datang masing-masing diunjurkan RM2.77 dan RM8.50.


Ia menilai KPJ terus memperbaiki intensiti hasil melalui campuran kes dan pendigitalan, manakala IHH mengekalkan momentum operasi dan pengembangan di India memberi potensi jangka panjang.


"Secara keseluruhan, sektor penjagaan kesihatan tetap mantap dari segi hasil, dengan tekanan kos diimbangi oleh peningkatan produktiviti dan aliran pesakit premium pada 2026," katanya - DagangNews.com