KUALA LUMPUR 26 Sept – Saham-saham syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan terus kekal dinilai sebagai agak berisiko yang tidak menentu kepada pasaran domestik semasa, menurut CIMB Securities.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut pada masa sama tidak mengetepikan potensi KPJ Healthcare Berhad, meskipun terdedah kepada pelbagai cabaran dan persekitaran kawal selia yang cukup hebat.
Dalam jangka panjang, KPJ dilihat masih lagi mampu menyesuaikan strategi perniagaan kumpulan untuk mampu menangani kepada banyak tekanan margin dan terus mencatat pertumbuhan yang lebih mampan.
“KPJ memiliki rangkaian hospital yang luas di Malaysia, dan sebagai pemain utama sektor penjagaan kesihatan swasta negara, ia berada pada kedudukan strategik," kata CIMB Securities dalam notanya.
Perkembangan positif tersebut jelas firma itu, membolehkan kumpulan berkenaan untuk meraih banyak manfaat besar daripada trend pertumbuhan permintaan penjagaan kesihatan secara jangka panjang.
Antara cabaran yang dikenal pasti termasuk tekanan daripada pelaras bayaran insurans yang lebih ketat, serta kos sewa meningkat susulan pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
CIMB Securities, namun menegaskan KPJ dinilai sebagai masih mampu untuk mengurus risiko-risiko ini dengan pendekatan pengurusan kos yang lebih berhati-hati dan pengawalan kecekapan operasi harian.
"Selain itu, fokus kerajaan dalam meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan turut dijangka membuka ruang kerjasama awam-swasta yang boleh dimanfaatkan oleh KPJ sendiri," katanya.
Walaupun mengekalkan saranan 'pegang', ia turut mengakui syarikat ini mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan keupayaan menyesuaikan diri dalam landskap domestik yang sedang berkembang.
Dalam perkembangan lain, CIMB Securities terus meletakkan IHH Healthcare Berhad sebagai pilihan utama firma tersebut dalam sektor penjagaan kesihatan berdasarkan kepelbagaian aset antarabangsa.
Ini khususnya di Singapura dan negara-negara Asia yang lain, memberi kelebihan kompetitif serta membantu dalam mengimbangi tekanan daripada perubahan dasar dalam sistem kesihatan Malaysia.
"IHH juga, disokong oleh prospek pemulihan pendapatan serta penilaian yang menarik. Kami jangka pemulihan ketara dalam operasi IHH di Singapura menjelang tempoh suku keempat 2025," tambahnya.
Unjuran itu seiring dengan penyiapan kerja-kerja pengubahsuaian di Hospital Mount Elizabeth dengan CIMB Securities meletakkan harga sasaran RM8.50 bagi saham IHH manakala RM2.80 untuk KPJ.
Penarafan sektor penjagaan kesihatan keseluruhan kata firma itu, kekal ‘overweight’, menandakan pandangan positif terhadap potensi pertumbuhan dalam tempoh sederhana hingga panjang. - DagangNews.com








