KUALA LUMPUR 23 Dis — Sektor pengangkutan mencatat prestasi secara keseluruhan menepati jangkaan bagi tempoh 9M25, dipacu prestasi stabil pengendali pelabuhan utama, Westports Holdings Berhad.
Menurut RHB Research, daripada tiga syarikat di bawah liputannya, hanya Westports dan FM Global Logistics Holdings Berhad melaporkan keputusan kewangan selari dengan unjuran awal firma itu.
Sementara Tasco Berhad mencatat keputusan di bawah jangkaan akibat pelarasan cukai sekali sahaja, namun ia menegaskan yang analisis prestasi sektor itu masih lagi dianggap sebagai memuaskan.
"Situasi ini memandangkan Westports merangkumi 96.5% daripada pemberat liputan sektor, dan dari segi prospek, kami melihat pandangan memberangsangkan terhadap sektor luaran Malaysia," katanya.
Bagaimanapun jelas RHB Research dalam notanya, ketidaktentuan global kekal sebagai risiko, dengan permintaan kontena dan ekonomi utama dunia masih menunjukkan terdapat prospek daya tahan.
Dinamisme ekonomi Asia, kepelbagaian perdagangan serantau serta model operasi pakatan perkapalan utama pula tambah firma penyelidikan berkenaan, terus tetap menyokong aktiviti pemindahan kargo.
Justeru, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan volum kontena Westports daripada kadar rendah ke sederhana satu digit, selari ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Bagi sektor eksport, kami mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 9.3% pada 2026, dipacu oleh kekuatan pertumbuhan global dan serantau, kejelasan dasar tarif Amerika Syarikat (AS)," kata RHB Research.
Ia turut dibantu daya tahan eksport elektrik dan elektronik (E&E), manakala ekonomi global diunjur berkembang pada kadar 3.5% hingga 3.7% pada 2026, lebih tinggi berbanding anggaran tahun semasa.
Selain itu, pelarasan tarif pelabuhan dijangka terus menyokong pendapatan Westports, dengan fasa pertama kenaikan tarif sebanyak 15% di Pelabuhan Klang sudah berkuat kuasa pada Julai 2025.
Ini diikuti kenaikan kedua sebanyak 10% pada Januari 2026, dan RHB Research menjangka pelaksanaan berperingkat ini meningkatkan keterlihatan hasil Westports ke arah FY26F, khususnya bagi kargo.
"Dari sudut pelaburan, kami mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor ini, sejajar pandangan terhadap Westports dilihat mengambil kira kesan kenaikan tarif dalam penilaian semasa," katanya.
Sebaliknya, firma itu cenderung kepada pemain logistik, dengan Tasco sebagai pilihan, disokong asas perniagaan pelbagai, kestabilan hasil dan manfaat insentif cukai bagi perkhidmatan logistik.
Secara keseluruhan, RHB Research berpandangan sektor pengangkutan berwaspada dengan prospek sederhana, disokong pertumbuhan perdagangan, dasar fiskal serta daya tahan pemain utama. - DagangNews.com








