Sektor pembuatan pada 2HFY25 diramal masih berwaspada isu perdagangan global - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan pada 2HFY25 diramal masih berwaspada isu perdagangan global - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

 

KUALA LUMPUR 16 Jun — Prospek sektor pembuatan di Malaysia pada tempoh separuh kedua tahun ini diramal masih lagi berwaspada terhadap pelbagai kesan luas daripada isu perdagangan global yang berterusan, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, setakat ini perkembangan semasa menunjukkan situasi tidak menentu berhubung pelaksanaan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi impak kepada eksport Malaysia ke negara berkenaan.


Justeru, ia memberi amaran bahawa walaupun terdapat tanda-tanda penurunan yang menggalakkan dalam pertikaian perdagangan AS-China berikutan perbincangan positif antara kedua-dua negara, namun risiko ketara adalah kekal ketika ini.


"Kami berpendapat sektor pembuatan berhati-hati memberi keyakinan secara pramatang kerana risiko mungkin masih berlarutan selepas 8 Julai 2025, apabila penangguhan awal 90 hari tarif tamat," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Selain itu, tambahnya, tarif AS sebagai 10 peratus ke atas barangan Malaysia berpotensi meningkat kepada 24 peratus selepas penggantungan selama 90 hari itu berakhir,yang meletakkan produk negara ini sebagai sasaran langsung.


Pertumbuhan perlahan dalam ekonomi utama dan ketegangan global yang meningkat menimbulkan risiko penurunan ketara kepada prospek perdagangan dan pertumbuhan Malaysia, serta mendorong unjuran lebih berhati-hati terhadap pembuatan.


Dalam tempoh terdekat, RHB Research namun menjangkakan berlaku peningkatan sementara dalam aktiviti eksport dan pembuatan berikutan muatan hadapan oleh pengeksport yang berusaha untuk mengatasi potensi daripada kenaikan tarif.


"Aktiviti dagangan yang meningkat lebih tinggi dapat diperhatikan pada sepanjang April 2025 dan trend itu diramal boleh berterusan hingga Mei dan Jun, untuk memberikan sedikit sokongan kepada sektor pembuatan," tambah firma tersebut.


Malah, jualan pembuatan Malaysia meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun (YoY) pada April 2025, meningkat berbanding 3.7 peratus pada Mac 2025, dengan sokongan subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta makanan, minuman dan tembakau.


Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus YoY pada April 2025, walaupun angka tersebut adalah di bawah ramalan RHB Research (3.2 peratus) dan konsensus Bloomberg (4.0 peratus).


Bagaimanapun, ia memberi amaran kenaikan itu mungkin tidak lama, kerana ketidaktentuan dan permintaan global berpotensi lemah boleh menjejaskan prestasi perdagangan dalam beberapa bulan akan datang, terutama selepas jeda tarif tamat.


"Industri berat yang banyak terlibat aktiviti eksport dengan pendedahan secera ketara kepada kesan pasaran AS dan China seperti E&E, bahan mentah dan jentera, dijangka paling teruk terjejas," kata firma penyelidikan berkenaan.


Sebaliknya RHB Research menambah, sektor yang dipacu dalam negeri seperti perdagangan runcit dan pembinaan berkemungkinan adalah kekal lebih terlindung daripada sebarang impak kejutan luaran.


Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 2 Julai 2025 pula dijangka mempunyai kesan langsung yang terhad ke atas pembuatan, kerana barangan keperluan utama kekal dikecualikan. - DagangNews.com