Sektor pembuatan masih berdepan tekanan daripada eksport lemah, kenaikan kos input dan gangguan rantaian bekalan - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan masih berdepan tekanan daripada eksport lemah, kenaikan kos input dan gangguan rantaian bekalan - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – Sektor pembuatan Malaysia masih berdepan beberapa tekanan utama walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan pada April 2026, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata dari sudut luaran, kelemahan paling jelas datang daripada sektor eksport apabila tempahan eksport terus mencatat penurunan untuk bulan kedua berturut-turut, dengan kadar penguncupan yang lebih cepat berbanding Mac. 

 

“Ini menunjukkan permintaan global masih lemah dan belum benar-benar pulih. Keadaan ini turut diburukkan oleh ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang mengganggu rantaian bekalan global serta meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan antarabangsa. 

 

“Pada masa yang sama, tekanan kos semakin ketara apabila inflasi kos input melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan, dipacu oleh kenaikan harga bahan mentah dan tenaga.

 

“Situasi ini menyebabkan pengeluar terpaksa menaikkan harga jualan pada kadar paling tinggi dalam sejarah siri PMI yang berpotensi memberi tekanan kepada permintaan,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

PMI atau Indeks Pengurus Pembelian ialah indikator utama yang mengukur tahap kesihatan sektor pembuatan berdasarkan tinjauan aktiviti seperti tempahan, pengeluaran dan pekerjaan, dengan bacaan melebihi 50 menunjukkan sektor pembuatan berada dalam keadaan stabil dan berkembang.

 

Tambah TA Securities, gangguan bekalan juga menjadi isu penting apabila tempoh penghantaran pembekal mencatat kelewatan paling ketara dalam hampir empat tahun, menyukarkan aliran pengeluaran.

 

“Walaupun syarikat meningkatkan pembelian untuk menampung risiko ini, inventori masih terus susut untuk tempoh yang panjang, menunjukkan tekanan rantaian bekalan masih belum stabil.

 

“Dari sudut sentimen, keyakinan perniagaan turut merosot ke paras terendah dalam lapan bulan, mencerminkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang masih tidak menentu. 

 

“Dalam masa yang sama, pertumbuhan pekerjaan kekal sederhana dan tidak cukup untuk menampung keseluruhan beban kerja, menyebabkan sedikit peningkatan dalam kerja tertunggak,” katanya.

 

t

 

Namun begitu, di sebalik tekanan tersebut, sektor pembuatan masih menunjukkan perkembangan positif apabila PMI meningkat kepada 51.6 pada April berbanding 50.7 pada Mac iaitu bulan kedua berturut-turut berada di atas paras neutral 50 yang menunjukkan sektor masih berada dalam fasa pengembangan.

 

Tempahan baharu turut kembali mencatat pertumbuhan selepas dua bulan lemah, disokong oleh pembelian pukal pelanggan untuk membina semula stok keselamatan. 

 

Pengeluaran pembuatan juga berkembang dengan lebih kukuh, mencapai kadar tertinggi sejak Disember 2021, mencerminkan aktiviti industri yang kembali rancak.

 

Aktiviti pembelian turut meningkat semula selepas penurunan sebelumnya, seiring usaha syarikat menstabilkan bekalan input dalam keadaan rantaian bekalan yang masih tidak menentu.

 

Secara keseluruhan, purata PMI bagi empat bulan pertama 2026 berada pada 50.5, sedikit lebih tinggi berbanding 50.1 pada suku pertama, menunjukkan momentum pertumbuhan masih berterusan walaupun sederhana.

 

TA Securities menjelaskan sebahagian peningkatan ini turut dipacu oleh pembinaan stok keselamatan berikutan ketidaktentuan geopolitik, bukan semata-mata kekuatan permintaan asas.

 

Walaupun begitu, data ini masih menyokong pandangan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal stabil dengan sektor pembuatan dijangka berkembang sekitar 4.3% hingga 4.4% bagi tahun ini, disokong oleh kekuatan sektor elektrik dan elektronik serta asas domestik yang kukuh. - DagangNews.com