Sektor pembinaan Malaysia kembali rancak menjelang pembentangan RMK-13, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan Malaysia kembali rancak menjelang pembentangan RMK-13, kata CIMB Securities

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Jun - Sektor pembinaan di Malaysia dijangka semakin aktif dengan lebih banyak projek bakal dianugerahkan menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bulan depan, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontraktor tempatan kini mula menerima lebih banyak peluang kerja, sejajar dengan peningkatan laporan mengenai projek infrastruktur besar yang akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini.

 

Antara projek utama yang menjadi tumpuan adalah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM17 bilion, yang juga antara projek kemudahan terbesar di negeri tersebut.

 

Satu lagi tender melibatkan sistem dan kenderaan LRT bernilai RM3.5 bilion pula menyaksikan persaingan antara beberapa syarikat tempatan dan luar negara yang telah membuat bidaan seperti Gamuda Bhd, YTL Corp Bhd, MRCB dan WCT Holdings Bhd.

 

CIMB Securities menjangka, kos pembinaan asas untuk projek LRT Pulau Pinang mungkin dikurangkan antara 4% hingga 6% daripada RM8 bilion kepada RM7.8 bilion selepas semakan semula nilai. 

 

"Namun, Gamuda dijangka tidak terjejas kerana berpeluang mendapat kerja tambahan bernilai RM3 bilion, yang dapat menampung kekurangan daripada bahagian asal kerja bernilai RM5 bilion," menurut nota kajian itu.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pembinaan dan menjangka keuntungan akan meningkat 10% pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagi suku kedua 2025, CIMB Research turut menjangka prestasi sektor berkenaan akan bertambah baik, disokong oleh aktiviti pembinaan yang lebih aktif selepas cuti perayaan pada suku pertama.

 

CIMB Research juga melihat lebih banyak projek besar akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuk sehingga enam projek pusat data besar bernilai kira-kira RM2 bilion setiap satu dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang.

 

CIMB Research menyatakan, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya memberi kesan kecil kepada sektor pembinaan secara keseluruhan.

 

Namun, ia mungkin menambah kos untuk projek bukan kediaman yang bernilai rendah dan dimenangi dengan keuntungan yang sangat kecil.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan antara 40% hingga 50% daripada kos projek boleh dikenakan caj SST, terutama jika kontraktor tidak boleh memindahkan kos tambahan kepada pelanggan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

 

"Bagaimanapun, kebanyakan bahan asas pembinaan seperti simen, keluli dan batu agregat tidak dikenakan cukai, kerana semakan SST hanya melibatkan 8 daripada 400 jenis bahan binaan," jelasnya.

 

Ia turut memberi amaran, caj SST tambahan kepada pengeluar besi mungkin memberi kesan berantai kepada rantaian bekalan pembinaan, kerana besi mewakili 63% daripada penggunaan dalam negara. - DagangNews.com