NuEnergy, PT BEL bekerjasama bangunkan projek gas metana arang batu bernilai AS$88 juta di Tanjung Enim, Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NuEnergy, PT BEL bekerjasama bangunkan projek gas metana arang batu bernilai AS$88 juta di Tanjung Enim, Indonesia

Gambar CNBC Indonesia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Globaltec Formation Bhd melalui anak syarikat miliknya sebanyak 70% iaitu NuEnergy Gas Ltd memeterai kontrak bernilai AS$88 juta (RM358.16 juta) dengan syarikat pelaburan tenaga bersih dari China, PT Beijing Energy Linking (PT BEL).

 

Kerjasama itu bertujuan mempercepatkan pembangunan projek gas metana arang batu (CBM) di Tanjung Enim, Indonesia.

 

Kontrak itu meliputi kerja-kerja penggerudian telaga, pembinaan kemudahan, ujian serta penyiapan pengeluaran gas asli sehingga projek mencapai tahap pengeluaran mampan sebanyak 24 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Globaltec berkata tempoh kontrak tersebut bermula pada 30 Jun 2026 dan akan berkuat kuasa sehingga 3 Ogos 2039.

 

“PT BEL akan mendapatkan semula nilai kontrak daripada hasil jualan gas pada masa hadapan dan ini mengurangkan keperluan NuEnergy menyediakan pembiayaan awal yang besar bagi pembangunan projek.

 

“Pendekatan itu membolehkan NuEnergy meneruskan pembangunan projek tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pembangunan pada peringkat permulaan dan akan mengurangkan tekanan terhadap aliran tunai serta keperluan mendapatkan pembiayaan tambahan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

t

 

Globaltec berkata, kemudahan pengeluaran di Tanjung Enim merupakan projek pembangunan gas metana arang batu pertama di Indonesia yang memperoleh kelulusan pelan pembangunan daripada pihak berkuasa negara itu.

 

Projek tersebut dirancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran secara berperingkat daripada satu juta kaki padu standard sehari (1 MMSCFD) kepada pembangunan berskala penuh sebanyak 25 MMSCFD.

 

Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan merupakan perjanjian pelaksanaan muktamad pertama yang dimeterai susulan perjanjian kerjasama strategik antara NuEnergy dan PT BEL yang ditandatangani pada April lalu.

 

Kerjasama itu dijangka mempercepatkan pembangunan projek selain menyediakan struktur pembiayaan yang lebih fleksibel kepada NuEnergy bagi merealisasikan pengeluaran komersial gas asli.

 

Gas metana arang batu merupakan sumber gas asli yang diperoleh daripada lapisan arang batu dan dilihat berpotensi menjadi antara sumber tenaga alternatif yang semakin mendapat perhatian dalam usaha peralihan kepada tenaga yang lebih bersih.

 

Dengan pemeteraian kontrak tersebut, NuEnergy dijangka dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan peningkatan pengeluaran gas, manakala PT BEL bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembangunan di bawah terma yang dipersetujui.0 - DagangNews.com