RHB Research naik taraf PETRONAS Chemicals kepada 'Beli', pelupusan PPC dijangka pacu penilaian semula saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research naik taraf PETRONAS Chemicals kepada 'Beli', pelupusan PPC dijangka pacu penilaian semula saham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Julai - RHB Research menaik taraf saranannya terhadap saham PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCHEM) kepada 'Beli' daripada 'Neutral', dengan harga sasaran dikekalkan pada RM5.92 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 46% daripada paras semasa.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan walaupun prestasi kewangan syarikat dijangka memuncak pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), faktor tersebut tidak menjejaskan prospek jangka sederhana dan panjang kumpulan.

 

Menurutnya, PCHEM dijangka meraih manfaat daripada kenaikan harga jualan purata (ASP) produk petrokimia yang mampu mengimbangi penurunan kadar penggunaan loji berikutan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di loji ASEAN Bintulu Fertiliser dan Kertih.

 

"Pendapatan syarikat dijangka kembali normal secara beransur-ansur selepas itu apabila pengeluaran petrokimia serantau kembali pulih, rantaian bekalan bertambah stabil serta premium harga yang didorong oleh ketegangan geopolitik mula berkurangan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Research turut melihat potensi pelupusan pegangan 50% PCHEM dalam Pengerang Petrochemical Company (PPC) sebagai pemangkin utama yang mampu mencetuskan penilaian semula terhadap saham syarikat.

 

Berdasarkan semakan salurannya, PCHEM kini sedang menilai kemungkinan melupuskan kepentingannya dalam PPC.

 

Sekiranya transaksi itu dimuktamadkan, ia dijangka dapat menghapuskan beban pendapatan tahunan sekitar RM500 juta hingga RM600 juta, selain mengurangkan turun naik pertukaran asing memandangkan PPC menyumbang kira-kira 95% hingga 96% daripada liabiliti syarikat dalam denominasi dolar Amerika Syarikat.

 

Selain itu, langkah tersebut dijangka meningkatkan kualiti dan kestabilan pendapatan syarikat, di samping mengukuhkan kedudukan kewangan serta memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pengurusan dalam melaksanakan strategi pengurusan modal.

 

RHB Research turut mengekalkan unjuran pendapatan PCHEM serta harga sasaran pada RM5.92 sesaham, yang dinilai berdasarkan 1.3 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY2026F, bersamaan purata lima tahun syarikat dengan mengambil kira diskaun ESG sebanyak 4%.

 

Menurutnya, kelemahan harga saham sejak kebelakangan ini telah mengambil kira sebahagian besar risiko penurunan, manakala potensi pelupusan PPC dijangka menjadi pemangkin penting kepada peningkatan penilaian saham.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan menaik taraf saranan terhadap PCHEM kepada 'Beli' daripada 'Neutral'- DagangNews.com