Sektor pembinaan diyakini semakin kukuh didorong pelancaran banyak projek baharu - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan diyakini semakin kukuh didorong pelancaran banyak projek baharu - UOBKH

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Jun — Prospek sektor pembinaan tempatan semakin kukuh dalam tempoh terdekat, didorong oleh pelancaran terpilih banyak projek baharu, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, potensi cerah dapat dilihat ketara menerusi pelbagai projek mega, yang seterusnya mempengaruhi perkembangan aliran kerja dan saluran buku tempahan lebih teguh.


Perkembangan positif berkenaan tambahnya, menyebabkan ia terus kekal berkeyakinan tinggi ke atas pandangan sektor tersebut, dan turut tidak mengubah pendirian penarafannya kepada 'overweight'.


"Situasi ketika ini disokong oleh pelancaran progresif banyak projek besar yang dijangkakan dan aliran kerja swasta lebih baik sepanjang separuh kedua 2025," kata UOBKH dalam satu nota kajiannya.


Ia menambah, model perniagaan berpusatkan domestik sektor pembinaan juga didapati kurang terjejas oleh faktor ketidaktentuan global dan keadaan itu memastikan saluran buku tempahan adalah banyak.


Syarikat-syarikat terlibat juga katanya, sibuk dengan pengembangan berterusan pusat data (DC) dalam ruang industri, dan sektor itu diyakini akan terus memberikan dorongan pendapatan yang lebih besar.


Tambahnya, penilaian semasa syarikat di bawah liputan UOBKH berdasarkan purata ramalan harga-kepada-pendapatan (PE) sebanyak 18 hingga 19 kali, kini melebihi purata PE lima tahun mereka.


“Jika diperhatikan buku tempahan sektor itu kini berada pada paras tertinggi dan ditingkatkan oleh syarikat yang memiliki pendedahan DC dengan peluang cukup bagi penambahan lebih banyak," katanya.


Bagaimanapun firma penyelidikan itu berkata, situasi kali ini wajar di tengah-tengah buku tempahan tinggi berbilang tahun dan keyakinan yang meningkat terhadap prospek pendapatan jangka terdekat.


Projek-projek itu termasuk daripada sektor awam dan swasta, manakala berdasarkan situasi semasa, pilihan utama UOBKH masih menyukai Gamuda Berhad, IJM Corp Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad.


“Kami amat menggemari syarikat-syarikat ini kerana penambahan buku tempahan berdaya tahan, nisbah  buku yang tinggi hingga 6.9 kali dan sokongan daripada mudah tunai domestik tertumpu,” katanya. - DagangNews.com