Sektor pembinaan berdepan risiko sekatan projek pusat data bukan AI, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan berdepan risiko sekatan projek pusat data bukan AI, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Risiko sekatan kemasukan pusat data (DC) baharu yang bukan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dikenal pasti berpotensi memberi kesan risiko kepada sektor pembinaan.


Bagaimanapun, RHB Research berpandangan impaknya masih terkawal, dan mengekalkan penarafan ‘overweight’ selepas majoriti keputusan kewangan 4Q2025 (4Q25) melepasi atau menepati jangkaan.


Daripada 10 syarikat di bawah liputannya, empat mencatat prestasi melebihi unjuran iaitu Sunway Construction Group Berhad, Kerjaya Prospek Group Berhad, Inta Bina Group Berhad dan MGB Berhad.


"Empat lagi menepati jangkaan, termasuk KKB Engineering Berhad, Econpile Holdings Berhad, Pintaras Jaya Berhad dan Gabungan AQRS Berhad," kata firma penyelidikan tersebut dalam notanya hari ini.


Hanya IJM Corporation Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad mencatat keputusan di bawah jangkaan, manakala Gamuda Berhad terlepas sasaran bagi 1QFY26 yang diumumkan lebih awal.


Kata RHB Research, kebanyakan kontraktor sudah menikmati pertumbuhan hasil sejajar peningkatan nilai kerja pembinaan siap kepada RM46.4 bilion pada 4Q25, naik 10.3% tahun ke tahun (YoY).


Subsektor bangunan bukan kediaman merekodkan pertumbuhan paling kukuh sebanyak 19% YoY kepada RM14 bilion, didorong kemajuan projek bangunan industri khususnya DC yang diperoleh sepanjang 2025.


"Kami difahamkan, harga besi tetulang kekal stabil di bawah RM2,800 satu tan sejak Mei 2023 hingga Januari 2026, malah mencatat penurunan YoY selama tempoh 15 bulan berturut-turut," katanya lagi.


Risiko baharu namun mungkin timbul daripada tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan muatan berlebihan yang boleh meningkatkan kos pengangkutan bahan binaan seperti konkrit bancuh siap.


Sebaliknya kata RHB Research, syarikat besar seperti Gamuda, Sunway Construction, IJM dan Kerjaya Prospek memiliki loji bancuhan konkrit di tapak projek yang mengurangkan kebergantungan luar.


Justeru, firma penyelidikan itu berpandangan Malaysia kekal kompetitif sebagai destinasi pelaburan DC berikutan kos pembinaan yang munasabah serta akses kepada infrastruktur elektrik dan air.


"Walaupun terdapat cadangan kerajaan Persekutuan untuk mengehadkan kemasukan projekDC bukan AI, tetapi langkah itu dilihat berpotensi menarik pelaburan yang lebih berkualiti tinggi," jelasnya.


Tambahnya, antara syarikat skala hiper antarabangsa yang sudah mengumumkan pelaburan mereka di Malaysia termasuk Google, Microsoft dan Amazon Web Services, yang kebanyakannya berkaitan AI.


Menurut firma risikan pasaran DC Byte, Malaysia kini menyumbang lebih separuh kapasiti DC dalam pembinaan di seluruh Asia Tenggara sendiri, mengatasi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.


Di bawah Belanjawan 2026, sejumlah RM5.9 bilion diperuntukkan bagi penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi sektor AI, yang dijangka memacu permintaan terhadap infrastruktur DC.


"Kami menjangkakan keputusan tender bagi projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM3 hingga RM4 bilion berpotensi diumumkan pada separuh kedua 2026," kata RHB Research.


Selain itu, projek Autonomous Rapid Transit (ART) Johor yang dianggarkan bernilai RM7 bilion serta sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Klang turut menjadi pemangkin sektor.


Peruntukan pembangunan kasar (DE) subsektor pengangkutan di bawah Belanjawan 2026 meningkat kepada 21.6% berbanding 20.5% pada 2025, dengan jumlah RM17.5 bilion bagi 2026, naik 6.7% tahun ke tahun.


Sehubungan itu, RHB Research mengesyorkan pelabur memberi tumpuan lebih kepada kontraktor yang ada rekod kukuh dalam pelbagai projek infrastruktur awam tempatan, serta kedudukan kewangan sihat.


"Ciri-ciri tersebut penting bagi menghadapi risiko seperti kekurangan tenaga kerja, kelewatan pelaksanaan projek awam dan kenaikan kos bahan binaan yang berpanjangan," katanya. - DagangNews.com