KUALA LUMPUR 23 April — Sektor pelabuhan tempatan berkemungkinan berdepan kesukaran apabila Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif tinggi import dari puluhan negara termasuk Malaysia, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, terdapat jangkaan peningkatan mendadak dalam pelayaran kosong atau pembatalan daripada syarikat perkapalan kerana permintaan lemah sejak tarif dikenakan terutamanya untuk laluan China-AS.
Bagaimanapun, kadar pengangkutan laut rantau Asia Tenggara kekal berdaya tahan, disokong permintaan sementara yang berpunca daripada penangguhan tarif selama tempoh 90 hari setelah diumumkan Presiden Donald Trump pada 8 April 2025.
“Sesetengah pengeksport dilapor meningkatkan pengeluaran dengan memuatkan penghantaran ke AS sebelum pelaksanaan tarif timbal balik itu, namun pada pandangan kami, lonjakan ini tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan mendadak," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB merujuk perkembangan eksport kontena China, apabila jatuh tiga peratus minggu ke minggu dalam Indeks Kontena Dunia pada minggu lalu dan menyebabkan penurunan mendadak 30 hingga 60 peratus dalam tempahan kontena China-AS sejak tarif itu berkuat kuasa.
Tempahan dari bahagian lain di Asia juga kata firma itu, telah merosot sebanyak 10 hingga 20 peratus, mencerminkan kelemahan permintaan luas, mengakibatkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menurunkan unjuran pertumbuhan perdagangan global 2025 kepada 0.2 peratus.
Ia amat rendah berbanding anggaran sebelumnya sebanyak 2.7 peratus ekoran peningkatan ketegangan perdagangan AS-China dan WTO memberi amaran bahawa perdagangan barangan antara dua negara itu boleh jatuh 80 peratus, yang berpotensi mencetuskan aliran kemelesetan.
"Bagaimanapun perdagangan di Asia masih boleh memberikan sokongan sementara kepada pelabuhan tempatan, terutama daripada perdagangan intra-Asia dan volum pintu masuk,” katanya sambil menambah, volum kontena mungkin jatuh apabila tempoh penangguhan tarif AS berakhir.
Dalam senario terburuk kata Maybank IB, perdagangan global boleh menguncup sebanyak 1.5 peratus dan ia percaya tanpa faktor isyarat dasar yang lebih jelas atau pelepasan perdagangan selanjutnya, jumlah pesanan pengangkutan kapal boleh menurun secara mendadak.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun jangka pendek mungkin menawarkan peningkatan volum untuk tempoh sementara, situasi ketidaktentuan yang berterusan dan pelbagai kos meningkat boleh membentuk suasana prospek lebih mencabar untuk sektor pelabuhan.
Ia percaya bahawa kadar muatan kontena boleh kekal aliran menaik pada suku kedua, meskipun lebih rendah dari tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti muatan awal China yang telah membawa ke hadapan musim penghantaran puncak, yang kebiasaannya bermula setiap Mei.
"Risiko penurunan dijangka berterusan pada separuh kedua 2025, termasuk permintaan lemah akibat keletihan muatan hadapan dan potensi kelembapan dalam aliran perdagangan AS-China, apabila dua faktor itu boleh menjejaskan kadar pengangkutan kontena," kata Maybank IB.
Justeru ia menurunkan taraf sektor itu kepada "neutral" daripada "positf" kerana prospek perdagangan global yang semakin merosot mungkin mempengaruhi prestasi syarikat-syarikat pengeksport, walaupun sebahagiannya disokong oleh permintaan penggunaan domestik.
Firma berkenaan turut memberi saranan "pegang" untuk Westports Holdings Berhad dan Swift Haulage Berhad manakala pemain logistik tersenarai Malaysia seperti Tasco Berhad dan FM Global Logistics Holdings Berhad masih mempunyai pendedahan minimum kepada pasaran AS. - DagangNews.com








