Sektor minyak dan gas serantau dijangka tidak menentu, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor minyak dan gas serantau dijangka tidak menentu, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 April — Syarikat-syarikat minyak dan gas (O&G) serantau sedang bersiap sedia berdepan tempoh tidak menentu dengan ramalan kejatuhan harga minyak mentah serta peningkatan risiko geopolitik dan ekonomi, kata RHB Investment Bank (RHB Research).


Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian "neutral" dengan menunjukkan jangkaan harga minyak yang lemah dan pelbagai isu halangan berkaitan dasar sebagai kebimbangan utama syarikat-syarikat O&G.


Ia juga mengurangkan ramalan harga minyak mentah penanda aras global Brent kepada AS$70 (RM306) setong untuk 2025 dan AS$68 (RM284) setong untuk 2026, turun berbanding anggaran awal iaitu AS$75 (RM328), dengan memetik sentimen makroekonomi yang lebih lemah.


"Kami percaya pasaran minyak semasa ada banyak harga dalam senario kes asas kami. Sebarang kejutan mungkin menyaksikan campur tangan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) untuk mengukuhkan kestabilan pasaran," katanya dalam satu nota kajian.


RHB Research menekankan, OPEC+ bersedia meningkatkan pengeluaransecara beransur-ansur mulai April 2025 dan jika program peningkatan semasa itu dikekalkan tanpa ada pelarasan, pasaran minyak diunjurkan mengalami lebihan sebanyak 1.1 juta tong sehari (mbpd) pada 2026.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut percaya, OPEC+ berkemungkinan menghentikan pelan peningkatan pengeluarannya pada 2026 bagi mengelakkan situasi lebihan bekalan.
 

Ahli ekonomi dalaman RHB Research menetapkan kebarangkalian sebanyak 40 peratus kepada senario terburuk, dengan mengunjurkan harga minyak boleh menjunam kepada AS$40 (RM175) setong di tengah-tengah ketidaktentuan global yang memuncak dan ketegangan geopolitik.


Senario itu didasarkan pada kebimbangan potensi kemelesetan kewangan global, didorong konflik perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin meningkat, tindakan dasar balas dendam, dan risiko China mengurangkan pegangannya dalam Perbendaharaan AS.


Walaupun unjuran peningkatan permintaan minyak global sebanyak 1.2 juta mbpd kepada 1.3 juta mbpd pada 2025 dan 2026, firma itu memberi amaran bahawa pasaran boleh beralih daripada defisit 0.4 juta mbpd pada 2025 kepada lebihan 1.1 juta mbpd pada 2026.


RHB Research berkata, OPEC+ yang diketuai oleh Arab Saudi, dijangka menahan usaha peningkatan pengeluaran selanjutnya pada 2026 untuk mengelak berlaku situasi bekalan membanjiri pasaran minyak mentah antarabangsa.


"Kerja-kerja yang berkaitan pengeluaran akan diutamakan berbanding penerokaan, dengan projek lapangan sedia ada berkemungkinan lebih mendapat keutamaan terlebih dahulu berbanding pembangunan medan baharu," tambah firma penyelidikan tersebut.


Selain itu, ia memilih syarikat yang ada kontrak jangka panjang stabil dan keterlihatan pendapatan jelas dengan fokus kepada pengendali penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) serta penyedia perkhidmatan penyelenggaraan sebagai kedudukan lebih baik.


Syarikat-syarikat terbabit katanya, berupaya dalam mengharungi ketidaktentuan pasaran minyak dengan antara pilihan utama RHB Research ialah Bumi Armada Berhad, Yinson Holdings Berhad, MISC Berhad dari Malaysia, serta AKR Corporindo dan Elnusa dari Indonesia.


"Pemain FPSO berkemungkinan ada risiko pendapatan lebih rendah di bawah kontrak jangka panjang tetap dan kukuh. Kami percaya pelanggan tidak akan membatalkan kontrak FPSO kerana isu turun naik harga minyak, memandangkan ia disokong oleh klausa pampasan," tambahnya.


Di bawah harga minyak mentah semasa, RHB menjangkakan peningkatan permintaan untuk simpanan minyak, dijangka memberi banyak manfaat kepada pengendali terminal tangki bebas serta pemilik kapal tangki yang menyediakan kemudahan penyimpanan di darat dan luar pesisir.


Dari segi petrokimia kata RHB Research, prospek adalah kekal berhati-hati walaupun terdapat potensi kos bahan mentah yang lebih rendah akibat penurunan harga minyak mentah serta kelemahan permintaan global terus menimbulkan risiko.


"Walaupun syarikat petrokimia domestik tiada kehadiran ketara di AS, kami tetap berhati-hati terhadap permintaan petrokimia global berikutan semakan dan ramalan kemelesetan dalam aktiviti ekonomi global akan menambah tekanan ke arah harga petrokimia," katanya. - DagangNews.com