KUALA LUMPUR 4 Dis — Sektor minyak dan gas (O&G) mencatatkan prestasi lemah bagi 3QFY25, selaras ramalan MBSB Research, dengan masih risiko penurunan ekoran lebihan bekalan minyak mentah global.
Berdasarkan perkembangan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dan Dialog Group Berhad sebagai saham pilihan utama dengan syor 'beli' dan harga sasaran (TP) ialah RM2.17.
Segmen huluan jelasnya, menyaksikan pemain seperti Bumi Armada, Deleum, dan MHB terjejas oleh isu harga minyak mentah rendah serta lebihan stok PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
"Bumi Armada mencatatkan pendapatan 9MFY25 hampir 50% lebih rendah tahun ke tahun (YoY), manakala MHB merosot 60% YoY akibat tempahan menurun dan kadar sewa kapal rendah," kata MBSB Research.
Justeru, firma berkenaan menjangkakan berlaku risiko penurunan secara berterusan dalam masa yang terdekat kerana para pelabur dilihat lebih berhati-hati dalam persekitaran harga minyak rendah.
Sementara segmen pertengahan pula jelasnya, memperlihatkan Dialog dan MISC Berhad masih lagi dapat mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih stabil berbanding aktiviti huluan mereka sendiri.
Tambah MBSB Research, perkhidmatan yang berasaskan yuran dan kontrak jangka panjang menjadikan segmen ini sebagai amat mudah terdedah ke atas situasi turun naik harga minyak jangka pendek.
"Dialog merekodkan perolehan teras pada 1QFY26 sebanyak RM136 juta walaupun pertumbuhan hasil meningkat kira-kira 4% YoY, yang menandakan ketahanan perniagaan kumpulan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, segmen hiliran menunjukkan PETRONAS Chemicals mencatatkan kerugian pada 9MFY25 akibat harga produk rendah dan lebihan kapasiti, manakala PETRONAS Dagangan tumbuh sederhana.
Segmen komersial syarikat tersebut kata MBSB Research, didapati berupaya melonjak 200% YoY, tetapi segmen runcitnya pula lemah akibat trend harga rujukan purata di Singapura tidak menguntungkan.
Dari segi pengagihan gas, firma itu mendapati, PETRONAS Gas dan Gas Malaysia mencatatkan penurunan satu digit YoY ekoran penurunan tarif serta kos tambahan selepas insiden letupan di Putra Heights.
"Kami menekankan bahawa segmen pertengahan sebagai kekal paling menarik dalam sektor O&G kerana model perniagaan yang bersifat defensif dengan trend aliran tunai pula adalah stabil," jelasnya.
Bagaimanapun MBSB Research memberi amaran risiko harga minyak rendah yang boleh memberi kesan lebih kepada huluan dan hiliran, apabila ketika ini berlalu kekurangan pemangkin pertumbuhan.
Dialog Group kekal sebagai pilihan utama kerana jangkaan pendapatan normalisasi FY26, penggunaan kapasiti tinggi, permintaan simpanan minyak stabil, dan pengembangan berperingkat di Pengerang.
Selain itu, jelas firma berkenaan, kumpulan itu berpotensi meraih peluang dalam pembangunan Baram Junior Cluster untuk perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal. - DagangNews.com








