Sektor minyak dan gas berdepan cabaran stok tidak seimbang disebabkan OPEC+ tambah pengeluaran, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor minyak dan gas berdepan cabaran stok tidak seimbang disebabkan OPEC+ tambah pengeluaran, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 OktSektor minyak dan gas terus mencatat situasi tidak menentu berikutan pengumuman terbaharu peningkatan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+)


Bagaimanapun, firma penyelidikan menunjukkan prospek berbeza dalam segmen-segmen utama industri meskipun pasaran minyak global terus berdepan cabaran ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.


MBSB Research melaporkan OPEC+ mengesahkan kesemua negara anggotanya meningkatkan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari mulai November 2025, yang menyamai kadar pada Oktober 2025.


"Langkah ini dilakukan walaupun jangkaan lebihan bekalan global berterusan pada 2025 dan 2026 selain tekanan berterusan terhadap harga minyak dijangka berlaku," kata firma itu dalam notanya.


Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, ia menjangka langkah OPEC+ mengakibatkan risiko lebihan bekalan yang semakin ketara ketika pertumbuhan permintaan yang dilihat sebagai masih sederhana.


Justeru, MBSB Research meramal harga penanda aras Brent diniagakan dalam lingkungan AS$70 (RM295) setong pada suku akhir 2025 hingga awal 2026, sedikit tinggi berbanding harga penutupan semasa.


Ia namun menegaskan beberapa faktor positif seperti pengeluaran OPEC+ masih di bawah kuota serta gangguan bekalan dari Rusia dan pembelian berterusan oleh China dapat menyokong harga minyak.


"Kami mengekalkan pendirian 'neutral' ke atas sektor minyak dan gas, dengan MISC Berhad diberikan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM8.13 sesaham sebagai pilihan utama dagangan," katanya.


MBSB Research menambah, ia berikutan portfolio syarikat perkapalan itu yang pelbagai dalam rumusan maritim tenaga dan komitmen aktif berterusan kepada kelestarian serta transformasi tenaga bersih.


Kenanga Research namun berbeza apabila lebih berhati-hati terhadap syarikat-syarikat dalam segmen penyedia perkhidmatan huluan, yang dilihat masih lagi menghadapi risiko penurunan pendapatan.


"Walaupun harga produk petrokimia masih lemah, kami melihat segmen ini kemungkinan sudah mencapai paras dasar dan berpotensi pulih dengan penambahbaikan asas global," jelas firma berkenaan.


Ia lebih mengutamakan segmen pertengahan sebagai pilihan selamat kerana permintaan yang lebih stabil terhadap kapasiti penyimpanan tangki terutama apabila OPEC+ meningkatkan pengeluaran stok.


Sehubungan itu, Kenanga mengekalkan saranan 'neutral' keseluruhan sektor minyak dan gas, serta memilih PETRONAS Chemicals Group Berhad sebagai pilihan kerana potensi pemulihan harga petrokimia.


Ini katanya, selepas pengurangan kapasiti global, manakala Dialog Group Berhad turut dipilih berikutan prospek pemulihan hasil selepas beberapa suku mengalami tekanan kos daripada projek terdahulu.


"Kami berpendapat sektor ini masih menghadapi persekitaran cukup mencabar dengan isu lebihan bekalan dan masalah ketidaktentuan harga di pasaran semasa," jelas firma berkenaan. - DagangNews.com