Sektor makanan perlu anjakan strategik atasi kebergantungan tinggi import, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor makanan perlu anjakan strategik atasi kebergantungan tinggi import, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Okt – Kebergantungan tinggi Malaysia terhadap makanan import meletakkan negara dalam kedudukan amat terdedah kepada inflasi global dan kejutan bekalan, menurut RHB Research.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berpandangan yang kerajaan memerlukan pembaharuan menyeluruh dalam sektor makanan untuk menjamin tahap kelestarian bekalan dalam jangka panjang.


Katanya, walaupun sektor ini mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1% tahun ke tahun (YoY) dan peningkatan nilai tambah 4.2% pada 2024, Malaysia kekal pengimport bersih makanan.


"Kami menilai berdasarkan dengan import makanan pertanian naik 14% berbanding eksport hanya 11.5%, terutama melibatkan beras, gandum, benih, baja dan jenteranya," kata RHB Research dalam notanya.


Analisis firma itu menunjukkan 73% tanah pertanian di Malaysia ditumpukan kepada kelapa sawit, manakala tanaman makanan hanya 10%, meskipun kedua-duanya menyumbang nilai tambah hampir sama.


Jelasnya, komoditi berkenaan pada tahun lalu mencatatkan nilai 44% per hektar, iaitu hanya tinggi sedikit berbanding tanaman makanan iaitu 42%, meskipun tanah yang diperuntukkan adalah amat kecil.


RHB Research turut memberi amaran yang kebergantungan ini menjadikan Malaysia berisiko tinggi terhadap ancaman besar dari luar seperti berlaku ketika krisis kewangan global 2007 sehingga 2008.


"Sepanjang tempoh itu, spekulasi komoditi menyebabkan lonjakan harga beras, sementara isu larangan eksport beras oleh India pada 2023 mengganggu teruk rantaian bekalan di pasaran serantau," katanya.


Bagi subsektor koko, walaupun kemudahan pemprosesan di Asia berkembang, pengeluaran koko di benua ini merosot 60% antara 2012 hingga 2022, dengan pengeluar utamanya, Indonesia adalah paling teruk.


Posisi negara itu kata RHB Research, jatuh daripada ketiga kepada ketujuh global, manakala kilang pemprosesan koko tempatan masih bergantung penuh import dari Afrika Barat sebagai sumber utama.


Selain itu tambah firma penyelidikan berkenaan, syarikat-syarikat di Malaysia memilih Ecuador, yang mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun bagi eksport ke Asia sebanyak 23% dalam dekad lalu.


"Kami justeru mencadangkan agar pendekatan pertanian berskala besar serta tanaman campuran untuk meningkatkan kesuburan tanah dan menjana pendapatan tambahan bagi ramai pekebun kecil," jelasnya.


Sokongan kerajaan lebih proaktif juga wajar melalui subsidi bersasar, pembinaan infrastruktur ladang dan khidmat nasihat lapangan selain penetapan harga lantai dan pendapatan mapan bagi petani.


Usaha tersebut kata RHB Research, agar sektor makanan kekal menarik terutama kepada generasi muda, bagi menangani isu purata umur petani yang kini mencecah 60 tahun dengan kurang bakat pelapis.


Berdasarkan situasi semasa, ia menyenaraikan lima kaunter utama yang berpotensi mendapat manfaat daripada usaha peningkatan daya tahan sektor makanan negara antaranya Farm Price Holdings Berhad.


"Kami turut memilih pengeluar produk koko utama, Guan Chong serta konglomerat perladangan, IOI Corporation dan SD Guthrie, selain pemain besar penternakan, Leong Hup International," katanya.


Malaysia jelas RHB Research, memerlukan anjakan strategi menyeluruh daripada hanya fokus industri berasaskan eksport kepada pendekatan seimbang menjamin keselamatan makanan dan kebajikan petani.


Ia turut menjangkakan lima syarikat tersenarai itu bakal mendapat manfaat langsung daripada dasar kerajaan, kerjasama serantau dan pelaburan dalam teknologi makanan. - DagangNews.com