Sektor hartanah diyakini kembali pulih disokong kestabilan OPR pada 2025, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor hartanah diyakini kembali pulih disokong kestabilan OPR pada 2025, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 NovMBSB Research menjangkakan sektor hartanah Malaysia akan terus kembali pulih pada 2025, disokong oleh kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal sebanyak 2.75%.


Kata firma penyelidikan tersebut, situasi itu membantu minat pembelian rumah serta dipacu faktor kadar pinjaman yang berdaya tahan dengan ia juga tidak mengubah saranan 'positif' terhadap sektor berkenaan.


Ia merujuk data Bank Negara Malaysia (BNM) yang melaporkan permohonan pinjaman pembelian hartanah meningkat 12.2% tahun ke tahun (YoY) pada September 2025, selepas naik 6.9% YoY pada Ogos 2025.


"Ini menunjukkan sentimen kekal kukuh dalam kalangan pembeli rumah, menjadikan jumlah kumulatif permohonan pinjaman bagi 9 bulan pertama 2025 meningkat kepada RM490 bilion," kata MBSB Research.


Firma itu menjelaskan penurunan sementara sebanyak 9.6% bulan ke bulan (MoM) pada September 2025 berpunca daripada cuti sekolah dan cuti umum, namun menjangka aktiviti pinjaman akan pulih semula.


Pada masa yang sama tambah firma berkenaan, harga rumah masih stabil dan persekitaran kadar faedah adalah rendah dijangka terus menyokong permintaan hartanah domestik dalam tempoh jangka pendek.


Sementara itu kata MBSB Research, pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 8.7% YoY pada September 2025, sekali gus menamatkan tiga bulan berturut-turut penurunan sejak Jun 2025.


"Walaupun nisbah kelulusan pinjaman turun kepada 43% dalam 9MCY25 berbanding 45% pada 9MCY24, jumlah pinjaman diluluskan kekal mendatar kepada RM212.6 bilion atau susut 0.4% YoY," katanya.


Bagi laporan kewangan suku ketiga, ia menjangka majoriti pemaju mencatat pertumbuhan pendapatan, disokong oleh pengebilan kemajuan projek yang stabil serta pengiktirafan jualan lebih tinggi.


Dalam suku kedua 2025 jelas MBSB Research, lima daripada tujuh pemaju utama mencatatkan keuntungan tumbuh antara 4% hingga 49%, dipacu oleh faktor penjimatan kos dan peningkatan aktiviti pembinaan.


Momentum jualan kata firma penyelidikan berkenaan, dijangka berterusan pada 2025 memandangkan sentimen pasaran kekal positif, didorong kestabilan kadar faedah dan prospek ekonomi lebih baik.


"Pelbagai projek infrastruktur yang utama di Johor serta pembangunan hartanah industri di seluruh negara, akan menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor hartanah dalam jangka sederhana," jelasnya.


Dari segi saham pilihan, Mah Sing Group (harga sasaran (TP): RM1.52) dijangka mengekalkan momentum melalui jualan kukuh projek M Series serta pemerolehan tanah baharu di Semenyih dan Pulau Pinang. 


Matrix Concepts (TP: RM1.65) pula kekal sebagai proksi pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan melalui Bandar Sri Sendayan dan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV). - DagangNews.com