KUALA LUMPUR 13 April — Peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak global kini mula menjejaskan kemampuan pembeli rumah, dan menjadikan prospek sektor hartanah 2026 lebih mencabar.
Menurut penganalisis, walaupun kebanyakan pemaju mencatat prestasi kukuh pada 2025 dan menetapkan sasaran jualan tinggi bagi tahun ini, kejayaan itu tidak akan dinikmati secara menyeluruh kali ini.
Permintaan ketika ini ujar seorang penganalisis daripada firma broker berkaitan bank tempatan, semakin selektif, dengan pembeli memberi keutamaan kepada faktor kemampuan, lokasi dan nilai semasa.
“Pemaju yang menumpukan kepada perumahan mampu milik, hartanah bertanah, pembangunan industri dan kawasan pertumbuhan tinggi berada pada kedudukan yang lebih baik," kata beliau kepada The Star.
Sebaliknya, projek dalam segmen mewah atau kawasan kurang strategik mungkin berdepan cabaran untuk mencapai sasaran, walaupun disifatkan realistik disokong momentum kukuh sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, MBSB Research menjangkakan kesan negatif sederhana terhadap sektor hartanah susulan kenaikan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Peningkatan secara ketara harga bahan api jelasnya, akan meningkatkan lagi kos sara hidup semasa, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna dan menjejaskan minat pembelian hartanah baharu.
“Selain itu, kos pengangkutan yang lebih tinggi turut meningkatkan kos pembinaan, yang boleh memberi tekanan kuat kepada margin pemaju jika berlarutan,” kata nota firma penyelidikan tersebut.

CLSA pula berpandangan isu ketegangan geopolitik dilihat berpotensi meningkatkan tekanan inflasi serta mendorong kenaikan kadar faedah, yang boleh menjejaskan permintaan terhadap projek baharu.
Walaupun pemaju secara umumnya menyasarkan pertumbuhan jualan antara 10% hingga 15% pada 2026, faktor kos pembinaan yang meningkat dan ketidaktentuan global boleh mengekang momentum tersebut.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan turut menekankan kepentingan model pendapatan berulang serta potensi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) sebagai pemangkin nilai jangka panjang.
"Ada beberapa pemaju mencatat prestasi baik pada 2025, seperti Sunway Berhad dengan jualan RM3.8 bilion, melepasi sasaran RM3.6 bilion dan menetapkan sasaran RM4.2 bilion bagi 2026," kata CLSA.
SP Setia Berhad pula mencapai jualan RM5.1 bilion, mengatasi sasaran RM4.8 bilion, manakala Mah Sing Group Berhad mencatat RM2.5 bilion, di bawah sasaran berikutan kelewatan kelulusan projek.
Dalam persekitaran semasa, pemerhati pasaran menjangkakan pemaju mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' serta melaraskan sasaran jualan secara strategik sekiranya keadaan ekonomi global merosot.
Penyemakan semula unjuran jelas CLSA, adalah wajar dalam tempoh ketidaktentuan, tetapi masih perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengekalkan keyakinan pelabur ke atas saham sektor hartanah.
Secara keseluruhan, sektor itu dijangka stabil pada 2026, tetapi prestasi tertumpu kepada pemaju yang mampu menyesuaikan strategi dengan keutamaan pembeli dan mengurus tekanan kos. - DagangNews.com








