KUALA LUMPUR 22 Sept – Prestasi jualan kenderaan di Malaysia masih belum pulih sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) susut bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2025 (8MFY25).
TA Securities berkata, keadaan tersebut mengakibatkan berlaku penurunan 3.8% tahun ke tahun (YoY), meskipun ada lonjakan pada Ogos 2025 sebanyak 73,000 unit, naik 4.2% daripada bulan sebelumnya.
Firma itu menyifatkan momentum tersebut tidak cukup mengimbangi kelembapan jualan dalam jangka sederhana dan menurunkan penarafan sektor automotif kepada ‘underweight’ daripada 'neutral'.
"Situasi kali ini mencerminkan jangkaan risiko penurunan yang lebih tinggi dalam masa terdekat dan sedang berdepan tekanan hebat daripada persaingan harga agresif," katanya dalam nota hari ini.
Keadaan itu dijangka terus menjejaskan margin keuntungan pengeluar dan pengedar, manakala sebarang pertambahan jualan atau penguasaan pasaran kemungkinan besar diperoleh dengan mengorbankan margin.
Dalam perkembangan semasa jelas TA Securities, penilaian saham ke atas syarikat sektor automotif ketika ini dilihat terlalu tinggi dan tidak disokong oleh pemacu pertumbuhan untuk masa terdekat.
Ia mengekalkan unjuran TIV 2025 kepada 750,000 unit, yang mewakili penurunan 8.2% YoY, disebabkan sentimen berhati-hati pengguna, ketidaktentuan dasar subsidi bahan api dan gangguan pengeluaran.
"Malah, pengeluar utama dijangka menghentikan sementara operasi kilang pada bulan ini, manakala cuti umum serta jangkaan Belanjawan 2026 mendorong pembeli bersikap tunggu dan lihat," katanya.
Proton pada Ogos 2025 jelas TA Securities, mencatat peningkatan kukuh 10.9% bulan ke bulan (MoM) kepada 14,600 unit, dipacu permintaan model X50 dan Saga, serta jualan kenderaan elektrik (EV).
Sebaliknya tambah firma penyelidikan tersebut, Perodua pula menyusut 4.4% MoM kepada 32,000 unit, manakala jualan keseluruhan kenderaan penumpang jenama nasional kekal mendatar pada 46,700 unit.
Jualan kenderaan bukan nasional pula katanya, didapati melonjak kira-kira 16.2% MoM kepada sebanyak 20,700 unit, dipacu prestasi memberangsangkan Honda, Mazda, Volkswagen dan jenama lain.
"Namun secara kumulatif, jualan kenderaan bukan nasional turun 4.3% YoY, dengan TIV tahun-ke-tarikh (YTD) adalah 516,900 unit, penurunan 3.8% berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.
Berikutan prospek suram ini, TA Securities turut mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas Bermaz Auto Berhad dengan harga sasaran (TP) sesaham adalah 51 sen, dan MBM Resources pula pada RM4.31.
Sementara itu, Sime Darby Berhad turut diturunkan taraf kepada ‘jual’ daripada ‘pegang’, dengan TP diunjur RM1.97, mencerminkan risiko penurunan pendapatan dalam suasana pasaran yang mencabar.
Ia menegaskan, tiada pemangkin kukuh boleh membalikkan sentimen sektor dalam tempoh terdekat, dengan unjuran terus berhati-hati terhadap permintaan dan ketidaktentuan dasar kerajaan. - DagangNews.com








