KUALA LUMPUR 23 Okt – RHB Research menjangkakan pemulihan jualan kenderaan baharu (TIV) dalam suku keempat 2025, dengan disokong faktor makroekonomi yang semakin positif.
Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran TIV 2025 kepada 795,000 unit, naik 9% daripada 730,000 unit sebelum ini, namun masih menunjukkan penurunan 3% tahun ke tahun (YoY) berbanding 2024.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif, memandangkan persaingan semakin sengit terutama segmen bukan nasional dan ketiadaan pemangkin penilaian semula terdekat.
"Kami merujuk data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV September 2025 mencatat 58,490 unit, susut 22% bulan ke bulan (MoM) tetapi hampir mendatar berbanding tahun lalu," kata RHB Research.
Keadaan ini jelasnya, menjadikan TIV tahun ini setakat September kepada 579,336 unit (-3% YoY) dan penurunan itu dijangka berikutan hari bekerja lebih pendek dan sikap 'tunggu dan lihat' pengguna.
Penurunan jualan banyak dipacu oleh Perodua (-27% MoM), Proton (-14%), dan Toyota (-10%), dengan pengeluar nasional mengekalkan 63% bahagian pasaran TIV tahun ini, berbanding 62% pada 2024.
RHB Research namun meramal jualan 4Q25 akan kukuh secara sukuan (QoQ) kerana pengeluar mempercepat penghantaran menjelang, disokong minat pengguna terhadap model baharu dan promosi akhir tahun.
"Kami menilai kenderaan elektrik (EV) terus kekal sebagai tema utama industri, tetapi kekurangan prasarana pengecasan masih menjadi penghalang besar kepada peningkatan kadar penggunaan," katanya.
Setakat Mac 2025, hanya 4,161 stesen pengecas EV dipasang di seluruh negara, manakala 4,477 lagi dalam perancangan tanpa garis masa jelas, jauh daripada sasaran 10,000 unit menjelang akhir 2025.
Tambah RHB Research, isu kapasiti grid dan faktor kos pemasangan pengecas jenis arus terus, turut membebankan, terutama bagi kondominium dan pusat beli-belah dengan bekalan tenaga yang terhad.
Justeru firma itu menekankan cabaran peraturan dan kos perkongsian yang melambatkan pemasangan di bangunan bertingkat, sedangkan 40 hingga 45% penduduk Lembah Klang menetap di kediaman jenis ini.
"Walaupun tiada dalam Belanjawan 2026, Kementerian Kewangan mengesahkan cuti cukai bagi EV import (CBU) tamat pada Januari 2026, sejajar tumpuan menggalakkan pemasangan tempatan (CKD)," katanya.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research menjangka lonjakan sementara jualan EV CBU menjelang akhir tahun ini, diikuti potensi kenaikan harga 15% hingga 30% selepas cuti cukai itu berakhir.
Sebaliknya, insentif untuk EV CKD akan diteruskan sehingga akhir 2027, selaras dengan rancangan beberapa pengeluar seperti BYD dan Proton membina kilang pemasangan di Tanjung Malim, Perak.
Kata firma berkenaan, Proton dijangka melancarkan model e.MAS 5 pada 30 Oktober dengan harga antara RM60,000 hingga RM80,000, selepas menerima sejumlah 3,000 tempahan dalam minggu pertama.
"Data menunjukkan BYD kekal jenama EV terlaris pada September (700 unit), diikuti Tesla (645 unit) dan Proton (592 unit). Secara keseluruhan, pelesenan EV naik 2% MoM kepada 3,532 unit," jelasnya.
RHB Research menambah, perkembangan tersebut menjadikan jumlah terkumpul 26,928 unit setakat tahun ini (YTD), bersamaan 4.4% daripada jumlah kenderaan berdaftar, meningkat daripada 2.5% pada 2024.
Ia menilai suasana makroekonomi menyokong pasaran automotif dengan kadar dasar semalaman (OPR) lebih rendah, kadar pengangguran 3.0% (Ogos 2025) terendah sejak 2015 dan inflasi sederhana 1.5%.
Bagaimanapun kata firma berkenaan, selepas empat tahun berturut-turut merekodkan TIV tertinggi dalam sejarah, ia menjangkakan kitaran penggantian terhadap kenderaan lama akan mula perlahan.
“Persaingan semakin sengit, khususnya dalam segmen bukan nasional yang dibanjiri jenama China, selain semakan nilai pasaran terbuka (OMV) apabila dijangka dilaksana semula," kata RHB Research.
Keadaan tersebut jelasnya, mungkin menekan harga kereta CKD, sekali gus menjejaskan permintaan, tetapi secara keseluruhan, unjuran TIV 2025 disokong oleh prestasi jualan suku keempat yang kukuh.
Pada masa sama, ia memberi amaran kenaikan harga pasca-OMV dan saingan harga agresif mungkin mengehadkan potensi pertumbuhan sektor automotif dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








