KUALA LUMPUR 26 Dis – Sektor automotif dan alat ganti mencatat prestasi sederhana pada suku berakhir September 2025, dengan pendapatan keseluruhan syarikat di bawah liputan secara umumnya sejajar jangkaan, menurut RHB Investment Bank Research yang mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor itu.
Daripada empat saham yang diliputi, Sime Darby mencatat prestasi selaras jangkaan, MBM Resources sedikit mengatasi unjuran, manakala Tan Chong Motor (TCMH) terus mencatat keputusan di bawah jangkaan.
RHB turut memaklumkan, trend semakan pendapatan sektor bagi tempoh 12 bulan kebelakangan ini kekal negatif, mencerminkan tekanan kos dan persaingan harga yang semakin sengit.
Sime Darby merekodkan keuntungan teras 1QFY26 sebanyak RM335 juta, susut 8% tahun ke tahun, namun masih berada dalam lingkungan jangkaan.
Prestasi ini didorong oleh pemulihan mengejut dalam segmen automotif China, yang kembali mencatat keuntungan teras PBIT sebanyak RM126 juta, disokong oleh rebat khas, pengurangan diskaun serta peningkatan jualan 8% suku ke suku.
Bagaimanapun, prestasi itu diimbangi oleh kelemahan dalam segmen industri apabila margin PBIT susut kepada 6.6%, berikutan kelewatan penghantaran peralatan baharu di Australia dan sumbangan selepas jualan yang lebih rendah.
Ke hadapan, Sime Darby menjangkakan peningkatan jualan secara suku ke suku serta pemulihan kecil margin, disokong oleh harga jualan purata yang lebih tinggi dan kos inventori yang lebih rendah.
RHB menjangkakan pendapatan kumpulan kekal stabil pada suku keempat tahun kalendar 2025, dipacu oleh jualan Perodua yang kukuh, namun memberi amaran bahawa operasi automotif China kekal tidak menentu berikutan persaingan yang semakin memuncak.
Tan Chong Motor pula terus mencatat suku kerugian, dipengaruhi oleh volum jualan yang lemah dan kos tetap yang tinggi. RHB menjangkakan tekanan ini berterusan selagi pengurusan belum menggariskan strategi jelas untuk menangani penurunan jualan dan kerugian yang berpanjangan.
Saranan BELI
Walau bagaimanapun, RHB mengekalkan saranan Beli ke atas TCMH berdasarkan nilai intrinsik aset-asas kumpulan, meskipun tempoh realisasi nilai tersebut masih tidak menentu. RHB turut berpandangan positif terhadap surat hasrat TCMH dengan Perodua untuk menyewakan sebahagian barisan pemasangan bagi projek kenderaan elektrik, yang berpotensi membantu mengoptimumkan kapasiti kilang serta mengurangkan tekanan kos tetap.
Bagi MBM Resources, prestasi lebih baik daripada jangkaan didorong oleh volum jualan Perodua yang lebih tinggi serta sumbangan lebih besar daripada syarikat bersekutu. Ini membawa pendapatan teras sembilan bulan 2025 kepada RM233 juta, susut kecil 1% tahun ke tahun.
Pengurusan memaklumkan bahawa tempahan tertunggak Perodua kekal kukuh pada sekitar 89,000 unit, mendorong RHB menaikkan andaian volum jualan bagi jenama tersebut.
Di peringkat industri, RHB menaikkan unjuran jumlah volum industri (TIV) 2025 kepada 795,000 unit daripada 730,000 unit sebelum ini, yang masih mencerminkan penurunan sederhana 3% tahun ke tahun.
Semakan ini disokong oleh keadaan makroekonomi yang lebih menggalakkan serta prestasi suku keempat yang lazimnya lebih kukuh. Setakat tahun ke tarikh, TIV 2025 berjumlah 727,800 unit, bersamaan 92% daripada unjuran penuh tahun.
RHB turut menegaskan risiko penurunan kepada sektor termasuk pesanan dan penghantaran kenderaan yang lebih lemah daripada jangkaan, kemungkinan kenaikan harga kenderaan pemasangan tempatan susulan semakan duti Nilai Pasaran Terbuka (OMV), serta persaingan harga yang agresif. Sebaliknya, permintaan yang lebih kukuh dan disiplin harga yang lebih baik berpotensi menjadi pemangkin positif.
Setakat tahun ke tarikh 2025, pengeluar kereta nasional terus mendominasi pasaran dengan pegangan gabungan 63.4%, diterajui Perodua sebanyak 44.4% dan Proton 19.0%. - DagangNews.com








