Sektor automotif 2025 lembab, TIV mungkin susut kepada 700,000 unit, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor automotif 2025 lembab, TIV mungkin susut kepada 700,000 unit, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sektor automotif Malaysia dijangka mengakhiri tahun 2025 dengan jumlah volum industri (TIV) hanya kira-kira 700,000 unit, mencerminkan sedikit penurunan daripada 816,747 unit yang berjaya dicatatkan pada 2024, menurut TA Securities.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi kelembapan yang dijangkakan itu disebabkan oleh keadaan pasaran sudah mula berubah dan pertukaran dasar awam telah mempengaruhi gelagat pembelian pengguna terhadap trend semasa pembelian kenderaan baharu.
 

Ia turut merujuk data terkini diterbitkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang melaporkan sebanyak 63,906 unit telah dijual pada Februari 2025, menandakan peningkatan ketara 30 peratus bulan ke bulan (m-o-m) berbanding cuma 48,732 unit pada Januari 2025.
 

"Bagaimanapun, jika disemak semula penjualan kenderaan yang berdasarkan asas tahun ke tahun (y-o-y) pula, angka tersebut sebenarnya mewakili sedikit penurunan sebanyak 1.7 peratus berbanding rekod Februari 2024," katanya dalam satu nota kajian.
 

TA Securities mengaitkan perkembangan tersebut sebagai proses lantunan m-o-m yang kukuh kepada penstabilan pasaran berikutan kelembapan Januari 2025, sehingga telah menjejaskan aktiviti pendaftaran kenderaan dan jadual pengeluaran pelbagai model automotif.
 

Angka pengeluaran bagi Februari 2025 direkodkan berjumlah 61,545 unit, dengan kenderaan penumpang kekal sebagai paling besar iaitu sebanyak 58,606 unit manakala baki ialah kenderaan komersial iaitu 2,939 unit, tambah firma penyelidikan tersebut.
 

Pembuat kereta tempatan iaitu Perodua dan Proton terus menyaksikan permintaan kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 28.9 peratus. Model kenderaan elektrik (EV) terbaharu Proton, iaitu eMas 7, muncul sebagai peneraju pasaran dalam segmen EV.
 

Sejak dilancarkan pada Disember 2024, model itu menerima lebih 4,500 tempahan, dengan 580 unit dihantar pada Februari 2025, menjadikannya EV terlaris untuk penjualan bulan tersebut.
 

Sementara bagi jenama bukan nasional, Honda mencatatkan pertumbuhan m-o-m tertinggi pada 105.2 peratus, dengan kira-kira 7,000 unit manakala Toyota dan Volkswagen juga mencatatkan prestasi positif, masing-masing meningkat 21.3 peratus dan 16.5 peratus kepada 4,800 unit dan 120 unit.
 

Bagaimanapun, Nissan dan Mazda pula kata TA Securities, dilihat bergelut, dengan jualan masing-masing didapati merosot kepada 446 unit dan 623 unit.
 

Firma penyelidikan itu berkata, melihat ke hadapan, jualan yang lebih tinggi dijangka untuk Mac 2025, memandangkan syarikat automotif sedang berusaha untuk memuktamadkan penghantaran menjelang Hari Raya Aidilfitri serta jumlah jualan kukuh dalam sejarah pada setiap Mac.
 

Ia juga mengekalkan saranan "neutral" kepada sektor automotif dan memegang unjuran TIV untuk tahun ini pada sebanyak 700,000 unit.
 

Berkongsi pandangan yang sama, MIDF Research berkata ia menjangkakan TIV sepanjang Mac 2025 akan bertambah baik pada asas m-o-m yang disokong oleh aktiviti promosi menjelang cuti panjang bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri akhir bulan ini.
 

Di luar pandangan segera kata firma penyelidikan tersebut, perubahan dasar awam berkemungkinan akan mempengaruhi keputusan pembelian pengguna dalam beberapa bulan akan datang.
 

Penghentian subsidi bahan api secara berperingkat untuk kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas dijangka mendorong sesetengah pengguna untuk beralih kepada EV sebelum pengecualian cukai semasa untuk kenderaan tersebut yang dibina sepenuhnya tamat pada akhir tahun.
 

Di samping itu katanya, sektor automotif telah memperoleh pelanjutan terakhir untuk cukai eksais yang disemak semula, dan langkah ini akan memperluaskan duti ke atas model luar negara bagi kenderaan dipasang sepenuhnya (CKD).
 

Polisi itu kini ditetapkan berkuat kuasa Januari 2026, dengan harga kenderaan CKD dijangka boleh meningkat sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus.
 

MIDF Research terus lagi mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor automotif memandangkan kitaran menurun yang memang telah dijangkakan.
 

"Unjuran penurunan tiga peratus y-o-y kami dalam TIV secara am adalah sejajar dengan ramalan MAA mengenai kelembapan sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun," kata firma penyelidikan tersebut. - DagangNews.com