KUALA LUMPUR 6 Mac – RHB Research menjangkakan sektor bahan binaan asas khususnya aluminium dan simen di Malaysia terus mencatat prestasi kukuh dalam tempoh terdekat disokong keadaan pasaran yang semakin stabil serta kos bahan mentah yang lebih rendah.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penilaian ‘Overweight’ bagi sektor tersebut kerana prospek pertumbuhan masih positif walaupun permintaan simen dijangka sedikit sederhana pada 2026.
Menurut RHB Research, faktor utama yang menyokong sektor ini termasuk bekalan aluminium global yang semakin terhad, harga arang batu yang lebih rendah serta peningkatan kecekapan operasi dalam kalangan pengeluar simen.
Firma itu turut menamakan Press Metal Aluminium Holdings Berhad sebagai pilihan utama dalam sektor berkenaan dengan harga sasaran RM8.50 sesaham.
“Prestasi kewangan syarikat tersebut bagi tahun kewangan 2025 juga disifatkan kukuh apabila keuntungan teras meningkat 17 peratus kepada RM2.19 bilion, sekali gus mencatat paras tertinggi setakat ini.
“Peningkatan itu didorong oleh kenaikan harga aluminium global selain kos bahan mentah yang lebih rendah, khususnya alumina yang berada di bawah AS$400 setiap tan.
“Selain itu, margin keuntungan operasi syarikat juga bertambah baik pada suku terakhir 2025 berikutan usaha mengurangkan kos inventori lama yang lebih tinggi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
RHB Research menjelaskan pengeluaran aluminium dunia kekal rendah dengan peningkatan hanya sekitar satu peratus pada 2025 kerana China hampir mencapai had pengeluaran tahunan sebanyak 45 juta tan.
Keadaan itu menyebabkan jumlah stok aluminium global terus menyusut sekali gus menyokong harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, bagi sektor simen, firma penyelidikan tersebut berpandangan prestasi Malayan Cement Berhad kekal kukuh selepas syarikat itu mencatat keuntungan teras RM442 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026.
“Keuntungan tersebut meningkat 45 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya hasil kadar cukai efektif yang lebih rendah serta pengurusan kos operasi yang lebih cekap.
“Pada masa sama, segmen simen syarikat berkenaan turut mencatat pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 17 peratus didorong harga arang batu yang lebih rendah dan langkah kawalan kos berterusan,” katanya.
Menurut RHB Research, pengurusan Malayan Cement dijangka mengekalkan harga jualan semasa kerana tahap keuntungan masih memuaskan walaupun kos tenaga dan bahan api semakin stabil.
Firma itu juga berpandangan tindakan pihak berkuasa membanteras lori membawa muatan berlebihan (terutamanya yang membabitkan syarikat pesaing) berpotensi memberi peluang kepada Malayan Cement menambah bahagian pasaran berikutan kemampuan logistik yang lebih besar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Namun, peningkatan kos logistik dijangka menjadi cabaran kepada industri simen dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum pasaran menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. - DagangNews.com








