KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelaburan IJM Corp Bhd dalam salah satu kilang cerucuk berputar automatik terbesar di Asia Tenggara dijangka meningkatkan daya saing syarikat menerusi pengurangan kos operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan keupayaan membida projek infrastruktur serta pusat data (DC) berskala besar.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham IJM dengan harga sasaran (TP) RM2.95 selepas mengadakan lawatan ke kilang baharu Industrial Concrete Products (ICP) di Bestari Jaya.
Firma penyelidikan itu berkata, kemudahan baharu tersebut meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan ICP Piles kepada lebih 2.2 juta tan berbanding kira-kira 1.8 juta tan sebelum ini, dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar RM300 juta termasuk kos tanah.
Menurut CIMB Securities, automasi merupakan kelebihan utama kilang itu yang dijangka membolehkan kos pengeluaran dikurangkan antara 5% hingga 10% berbanding kaedah konvensional.
Penjimatan itu disokong oleh pengurangan keperluan tenaga kerja sebanyak kira-kira 40% menerusi penggunaan teknologi automasi dan pendigitalan.
Kilang berkenaan dilengkapi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), termasuk sistem automatik pemotongan dan pemasangan besi tetulang, proses putaran berbantukan mesin, platform analitik ramalan berpusat, sistem pengurusan enap cemar bersepadu serta penempatan besi tetulang berketepatan tinggi.

Rumusan Pembinaan Bersepadu
Selain meningkatkan kecekapan operasi, CIMB Securities berpandangan kemudahan itu memperkukuh rumusan pembinaan bersepadu IJM.
Ini berikutan lokasi kilang yang hanya lapan kilometer daripada kemudahan SMART Industrialised Building System (IBS) milik IJM, sekali gus membolehkan pengeluaran cerucuk digabungkan dengan penyelesaian IBS bagi mempercepat pelaksanaan projek.
Menurut firma penyelidikan itu, keupayaan menawarkan penyelesaian bersepadu dijangka meningkatkan peluang IJM memenangi projek yang memerlukan tempoh pelaksanaan pantas, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan pusat data.
Dalam masa sama, CIMB Securities menjangkakan kilang baharu itu menjadi model kepada usaha menaik taraf kemudahan ICP Piles yang lain menerusi automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan ekonomi skala serta mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran cerucuk berputar negara.
Ketika ini, ICP Piles mengendalikan 13 barisan pengeluaran di sembilan kemudahan di seluruh negara dan telah membekalkan hampir 40 juta tan cerucuk berputar sejak ditubuhkan pada 1977.
Syarikat itu juga telah mengeksport produknya ke lebih 12 negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Vietnam, Arab Saudi, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat, selain terlibat dalam projek ikonik seperti Gardens by the Bay, Jambatan Temburong dan Shebara Resort.
Dari sudut kelestarian, kilang baharu itu dilengkapi panel solar berkapasiti sehingga 3.22 megawatt (MW), sistem pengawetan semula jadi, penuaian air hujan serta kemudahan kitar semula konkrit yang dijangka menjana penjimatan kos utiliti tahunan kira-kira RM1.1 juta.
Bagi tahun kewangan 2026 (FY26), CIMB Securities mengunjurkan segmen industri menyumbang RM208 juta atau 31% daripada keuntungan teras sebelum cukai IJM, sekali gus mencerminkan peranan yang semakin penting sebagai pemacu pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam jangka panjang. - DagangNews.com








