KUALA LUMPUR 27 Julai – Pelabur asing menjual saham bernilai RM134.3 juta di Bursa Malaysia minggu lalu, sekali gus menamatkan aliran belian selama dua minggu berturut-turut apabila harga minyak mentah Brent melonjak 9.9% kepada AS$96.78 setong dan dana global terus mengurangkan pendedahan terhadap ekuiti di seluruh Asia, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi asing merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM134.3 juta daripada Bursa Malaysia, sekali gus membalikkan aliran belian bersih yang dicatatkan selama dua minggu berturut-turut sebelum ini apabila pelabur global kekal berhati-hati meskipun harga komoditi terus mengukuh.
Malaysia merupakan antara lima pasaran Asia yang merekodkan aliran keluar modal asing minggu lalu bersama Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Di lapan pasaran Asia yang dipantau MBSB Research, pelabur asing melanjutkan aliran jualan bersih kepada lima minggu berturut-turut dengan jumlah aliran keluar mencecah AS$646.2 juta.
Korea Selatan merekodkan aliran masuk asing terbesar sepanjang minggu berkenaan, diikuti India dan Thailand.
Dana asing pilih sektor pengangkutan dan perbankan
Pelabur asing hanya menjadi pembeli bersih pada satu daripada lima hari dagangan minggu lalu apabila merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM169.5 juta pada Selasa.
Bagaimanapun, jualan kembali berlaku sepanjang baki empat sesi dagangan dengan Jumaat merekodkan aliran keluar terbesar sebanyak RM148.8 juta, diikuti Rabu (RM72.9 juta), Khamis (RM63.9 juta) dan Isnin (RM18.2 juta).
Mengikut sektor, sektor Pengangkutan dan Logistik menerima aliran masuk asing terbesar sebanyak RM154.4 juta, diikuti Perkhidmatan Kewangan (RM144.9 juta) serta Utiliti (RM32.8 juta).
Sebaliknya, sektor Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mencatatkan aliran keluar asing terbesar sebanyak RM204.8 juta, diikuti Produk dan Perkhidmatan Pengguna (RM110.9 juta) serta Teknologi (RM65.3 juta).
Institusi tempatan pula melanjutkan aliran jualan bersih kepada tiga minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar sebanyak RM88.8 juta.
Dalam pada itu, pelabur runcit kembali menjadi pembeli bersih selepas menjual pada minggu sebelumnya dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM223.1 juta.
Purata volum dagangan harian turut menyusut merentasi semua kumpulan pelabur, dengan penyertaan pelabur runcit merosot 12.1%, institusi tempatan susut 14.1% manakala pelabur asing berkurangan 7.0%.
Prestasi pasaran serantau bercampur-campur
Pasaran ekuiti global ditutup bercampur-campur minggu lalu apabila 11 daripada 20 indeks utama yang dipantau MBSB Research mencatatkan kenaikan.
Indeks Shenzhen CSI 300 China muncul sebagai prestasi terbaik dengan peningkatan 2.7%, diikuti TAIEX Taiwan yang naik 2.3% dan Hang Seng Hong Kong yang menokok 1.6%.
Sebaliknya, Ho Chi Minh VSE Vietnam mencatatkan prestasi paling lemah selepas susut 5.7%, diikuti Sensex India yang merosot 2.7%, manakala Nasdaq Composite turun 2.1%.
Sementara itu, dolar Amerika Syarikat susut sedikit berbanding ringgit sebanyak 0.2% kepada RM4.0907.
Harga komoditi pula terus mengukuh apabila minyak mentah Brent melonjak kepada AS$96.78 setong, manakala harga minyak sawit mentah meningkat 2.7% kepada RM4,722 satu tan, sekali gus memberikan sokongan kepada prospek sektor tenaga dan perladangan Malaysia. - DagangNews.com








