KUALA LUMPUR 27 Julai – Johor Plantations Group Berhad (JPG) muncul antara saham pilihan utama RHB Research dalam sektor perladangan meraih harga minyak sawit mentah (MSM) yang semakin kukuh.
Ujarnya, harga komoditi itu dijangka terus tinggi dipacu pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia serta risiko fenomena El Nino yang dijangka mengurangkan pengeluaran sawit mulai hujung tahun ini.
Justeru, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan JPG selain Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, SD Guthrie, sebagai saham pilihan utamanya.
"Kami berpandangan prospek harga MSM yang dijangka terus meningkat menjelang akhir 2026 apabila kesan El Nino mula dirasai akan memberi kelebihan kepada syarikat berkenaan," jelas RHB Research.
Menurutnya, pasaran MSM kini semakin dipengaruhi dasar tenaga berbanding faktor penawaran dan permintaan tradisional, susulan pelaksanaan mandat B50 di Indonesia yang bermula awal Julai 2026.
Negara itu memerlukan 18 juta tan MSM setahun atau 35% daripada keseluruhan pengeluaran Indonesia, sekali gus mengurangkan stok global dan menyediakan sokongan kukuh kepada harga komoditi berkenaan.

Pada masa sama kata RHB Research, ramalan beberapa badan meteorologi antarabangsa menunjukkan El Nino yang kuat atau sangat kuat dikhuatiri berlaku 97% sepanjang Oktober hingga Disember 2026.
"Bagaimanapun, kami masih menunggu pengesahan rasmi mengenai kekuatan fenomena itu bagi tempoh tiga bulan berturut-turut sebelum membuat semakan ketara terhadap unjuran harga MSM," tambah firma itu.
Kelazimannya hasil tandan buah segar (FFB) menyusut antara 10% hingga 14% pada tahun pertama El Nino, diikuti penurunan tambahan sekitar 3% hingga 4% sekiranya cuaca kering tersebut berterusan.
Jelas RHB Research, meskipun hujan ketika ini, situasi kering akibat El Nino di Malaysia dijangka memuncak pada akhir tahun, dan berpotensi menyamai fenomena El Nino yang sangat kuat pada 1997.
Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah ujarnya, dijangka menjadi negeri yang paling terkesan akibat kekurangan hujan, sekali gus berisiko mengalami penyusutan hasil sawit yang lebih ketara.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 satu tan bagi 2027, serta menilai kenaikan harga pada 2027 mungkin berlaku," katanya. - DagangNews.com








